RMK13: Orang ramai mahu kerajaan beri fokus menyeluruh

SHAH ALAM - Hasil dua tinjauan pendapat yang dijalankan secara dalam talian di aplikasi X dan Instagram Sinar Harian mengenai Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menunjukkan rata-rata pengundi mahukan kerajaan memberi fokus secara menyeluruh.
Semua aspek perlu diberi perhatian, termasuk kos sara hidup, peluang pekerjaan dan Pendidikan serta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Di aplikasi X, 52 peratus memilih pendekatan menyeluruh dengan peluang pekerjaan mendapat perhatian tertinggi (29 peratus) berbanding kos sara hidup (14 peratus).
Manakala di Instagram, 67 peratus pengundi memilih 'semua di atas' dengan kos sara hidup lebih menonjol (27 peratus ) berbanding peluang pekerjaan (6 peratus).
Dalam pada itu,tinjauan di platform X yang berlangsung selama 17 jam mendapati 33 peratus responden berpandangan RMK telah dilaksanakan dengan berjaya dan 27 peratus sangat berjaya.
Sebaliknya, tinjauan serupa di Instagram selama enam jam menunjukkan 39 peratus daripada 194 responden berpendapat RMK gagal.
Dalam soal siapa yang wajar diberi keutamaan dalam perancangan negara, golongan belia dan graduan menjadi pilihan utama dengan 45 peratus di aplikasi X dan 39 peratus di Instagram.
Golongan B40 juga menerima perhatian tinggi, khususnya di Instagram dengan 37 peratus undian.
Sementara itu, soalan berkenaan perubahan yang diharapkan dalam perancangan negara memperlihatkan dua pilihan utama iaitu fokus kepada rakyat dan peluang pekerjaan.
Kedua-duanya mendapat sokongan sama rata iaitu 36 peratus di X, manakala di Instagram, fokus kepada rakyat (42 peratus ) mendahului cadangan lain.
Akhir sekali, tahap kepuasan terhadap pencapaian pembangunan negara menunjukkan perbezaan ketara antara kedua-dua platform.
Seramai 64 peratus pengguna aplikasi X berpuas hati manakala hanya 49 peratus di Instagram berkongsi pandangan sama, dengan 51 peratus menyatakan tidak berpuas hati.
Walaupun tinjauan ini berskala kecil dan tidak mewakili keseluruhan populasi, ia memberikan gambaran awal mengenai sentimen rakyat, khususnya dalam kalangan pengguna media sosial.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


