Lelaki kantoi menyamar jadi 'duta'

NEW DELHI - Seorang lelaki akhirnya kantoi selepas tertangkap menguruskan 'kedutaan palsu'.
Pegawai kanan unit khas di Uttar Pradesh, utara India, Sushil Ghule berkata, individu dikenali sebagai Harshvardhan Jain, 47, itu turut menyamar sebagai 'duta' dan menipu wang ramai orang dengan menjanjikan peluang pekerjaan di luar negara.
"Dia mendakwa kononnya menjadi penasihat kepada duta kepada entiti seperti 'Seborga' atau 'Westarctica'," ujarnya lagi.
Serbuan yang dilakukan ke atas bangunan disewa berhampiran Delhi itu turut menemui wang tunai berjumlah hampir 4.5 juta rupee (RM219,407) bersama mata wang asing lain, empat buah kereta dengan plat diplomatik palsu, gambar suntingan memaparkan Jain dengan pemimpin dunia dan cop palsu Kementerian Luar India serta hampir 30 negara asing.
"Jain juga disyaki terlibat aktiviti pengubahan wang haram melalui syarikat proksi di luar negara. Dia menghadapi pertuduhan melakukan pemalsuan, penyamaran dan memiliki dokumen palsu," jelasnya lagi. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

