Chegubard direman kes sebat patung mirip PM

KUALA LUMPUR - Aktivis, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard direman sehari bagi membantu siasatan berkaitan Himpunan Turun Anwar pada Sabtu lalu.
Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali memaklumkan, Chegubard yang ditahan pada pukul 2.30 petang Isnin dijangka akan dibebaskan pada Selasa.
“Polis memohon reman selama empat hari namun ditolak dan Chegubard dibenarkan direman selama sehari sehingga hari ini.
“Beliau dijangka dibebaskan pada 5 petang di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Pada Isnin media melaporkan, polis menahan dua individu termasuk Chegubard dipercayai membawa dan menyebat patung mirip Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Himpunan Turun Anwar pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilaporkan berkata, pihaknya menjalankan siasatan terhadap peserta himpunan terbabit yang perbuatan mereka dirakam dan dimuat baik dalam media sosial oleh pihak tertentu.
Beliau dilaporkan, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Dua tangkapan dilakukan ke atas dua lelaki warga tempatan berusia 21 dan 47 tahun.
Polis turut merampas peralatan komunikasi dipercayai digunakan untuk memuat naik dan menghantar maklumat berkaitan insiden itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
