'Bukan kes culik tapi remaja disamun individu dikenali' - Polis

KAJANG - Tiada kejadian culik sebaliknya hanya melibatkan samun dalam kejadian tular membabitkan seorang remaja yang mendakwa diculik sebelum dipukul serta dituntut wang tebusan pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, siasatan mendapati kejadian culik seperti yang didakwa tidak berlaku, sebaliknya mangsa dipercayai mengenali suspek sebelum disamun.
Beliau berkata, hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati mangsa menaiki kenderaan suspek tanpa dipaksa dan dipercayai mengenali antara satu sama lain sebelum kejadian samun berlaku.
"Dalam laporan itu, mangsa mendakwa dipaksa masuk ke bahagian belakang sebuah kereta jenis Perodua Axia berwarna perak di Bangi Avenue kira-kira jam 12.40 tengah malam pada hari sama.
"Mangsa mendakwa matanya ditutup, tangannya diikat sebelum dipukul dan diugut supaya mendapatkan wang daripada kenalannya oleh empat lelaki menyebabkan mangsa mengalami kerugian kira-kira RM1,100 wang tunai, sebuah telefon bimbit, beg dan beberapa dokumen," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini, tular satu hantaran di Threads mendakwa seorang remaja yang menunggu rakannya datang mengambilnya di luar rumah berhampiran Bangi Avenue telah diculik.
Hantaran itu turut mendakwa mangsa diminta membayar wang tebusan RM3,000 sebelum jumlah berkenaan dikurangkan kepada RM2,000, selain mendakwa mangsa ditemukan di dalam hutan dalam keadaan berlumuran darah akibat dipukul.
Naazron berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 5.16 pagi, Selasa, membabitkan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an yang bekerja sebagai pelayan restoran.
"Usaha mengesan kesemua suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.
"Orang ramai diingatkan berhati-hati ketika berkenalan dengan individu menerusi media sosial serta tidak menyerahkan kad ATM, nombor PIN atau maklumat peribadi kepada orang lain," katanya.
Ujarnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi Pusat Kawalan Polis Daerah Kajang di talian 03-8911 4243 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Ghazali Zulkifli menerusi talian 016-914 0758.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

