Sindiket edar dadah di penjara tumpas

Mohamad Fuzi menunjukkan dadah yang dirampas.
Mohamad Fuzi menunjukkan dadah yang dirampas.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang dipercayai menyeludup masuk dadah untuk kegunaan tahanan Penjara Simpang Renggam, Johor.

Kegiatan sindiket itu dibongkar Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama JSJN Johor dalam dua serbuan berasingan di Johor Bharu, Johor, Sabtu lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, seramai lima individu dipercayai ahli sindiket berusia lingkungan 26 hingga 30 tahun berjaya diberkas dalam operasi bermula jam 7 petang.

"Serbuan pertama membawa penahanan seorang lelaki dengan rampasan dadah disyaki syabu (9.88 kg), heroin (16.4 kg) serta 940 biji pil heroin dianggarkan bernilai RM814,000.

"Susulan itu, hasil soal siasat membawa serbuan di sebuah rumah dengan tangkapan empat lagi lelaki," katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Tambahnya, turut disita adalah kereta jenis Honda Jazz dan Proton Pesona, tiga buah motosikal, pelbagai jenis barang kemas serta wang tunai berjumlah RM22,000.

Mohamad Fuzi mendedahkan, dipercayai sindiket yang aktif sejak dua tahun lalu ini terbabit mengedar dadah di penjara berkenaan.

Beliau berkata, siasatan lanjut berkenaan kes ini turut mendapat kerjasama penuh daripada Jabatan Penjara Malaysia bagi mengesan jika terdapat pembabitan orang dalam dalam usaha membanteras sindiket ini.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan bagaimanapun masih dialankan. Kesemua suspek direman tujuh hari dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Dalam kes yang berlainan, polis menumpaskan satu lagi sindiket pengedaran dadah antarabangsa dalam serbuan berasingan di sekitar Perak, Sabtu lalu, susulan tertangkapnya tiga lelaki berusia lingkungan 39 hingga 49 tahun.

"Suspek pertama ditahan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Taiping dengan rampasan dadah disyaki syabu dianggar seberat 569.5 kg bernilai RM28.47 juta di dalam sebuah kontena yang dipercayai dalam perjalanan ke Pulau Pinang untuk diimport ke negara luar.

"Manakala, dua lagi suspek ditahan masing-masing di Ipoh dan Bidor," katanya.