884 pelajar Tuisyen Rakyat RISDA cemerlang SPM, terima insentif RM300

Ahmad Zahid (tengah) menyampaikan cek cura berjumlah RM3,517,500.00 kepada wakil penerima pada Majlis Apresiasi Tuisyen Rakyat RISDA 2024 di sini pada Isnin.
Ahmad Zahid (tengah) menyampaikan cek cura berjumlah RM3,517,500.00 kepada wakil penerima pada Majlis Apresiasi Tuisyen Rakyat RISDA 2024 di sini pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seramai 884 pelajar Program Tuisyen Rakyat RISDA mencatat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 dan akan menerima insentif khas sebanyak RM300 setiap seorang sebagai penghargaan atas pencapaian tersebut.

Daripada jumlah itu, 17 pelajar memperoleh 11A, 16 pelajar meraih 10A, manakala 72 pelajar mencatat 9A.

Ia merupakan peningkatan ketara berbanding 654 pelajar cemerlang (5A ke atas) pada tahun sebelumnya.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, program yang diperkenalkan sejak 2007 itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan anak-anak pekebun kecil di luar bandar mendapat akses pendidikan berkualiti secara percuma.

“Sejak dilaksanakan, sebanyak RM31.03 juta telah disalurkan, memberi manfaat kepada 35,316 pelajar. Bagi tahun 2024 sahaja, sejumlah RM3.51 juta diperuntukkan untuk membantu 3,015 pelajar daripada keluarga pekebun kecil, dengan tumpuan kepada lima subjek teras Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Tuisyen Rakyat RISDA 2024 di sebuah hotel di ibu negara pada Isnin.

Turut hadir Timbalan Menteri KKDW, Datuk Rubiah Wang; Pengerusi RISDA Manndzri Nasib; Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Setiausaha KKDW, Muhd Khair Razman Mohamed Annuar dan Ketua Pengarah RISDA, Zainal Azni Zulkifli.

Menurut Ahmad Zahid, program itu bukan sahaja meringankan beban kewangan ibu bapa, tetapi turut memberi ruang kepada pelajar luar bandar untuk fokus sepenuhnya kepada pelajaran.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Zahid ketika merasmikan Majlis Apresiasi Tuisyen Rakyat RISDA 2024 di sebuah hotel di sini pada Isnin.
Ahmad Zahid ketika merasmikan Majlis Apresiasi Tuisyen Rakyat RISDA 2024 di sebuah hotel di sini pada Isnin.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada 1,095 guru di 201 pusat tuisyen di seluruh negara yang telah memberikan sumbangan besar dalam menjayakan program ini.

“Saya percaya setiap anak desa mempunyai potensi luar biasa. Dengan sokongan yang tepat, mereka bukan sahaja mampu cemerlang dalam pelajaran, malah mampu kembali membangunkan tanah tumpah darah mereka,” katanya.

Dalam majlis itu, beliau turut menyatakan keyakinan terhadap masa depan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang kini menjadi pilihan utama generasi muda luar bandar.

Katanya, sambutan terhadap platform UP_TVET sejak 2023 amat menggalakkan dengan lebih 200,000 permohonan diterima bagi sesi 2024, berbanding 90,558 penempatan yang ditawarkan pada sesi pertama.

“Kadar kebolehpasaran graduan TVET kini mencecah 95.1 peratus. Ini kerana industri memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan banyak syarikat kini menyerap pelatih TVET terus ke alam pekerjaan, termasuk melalui program ‘apprenticeship’ yang dibayar sejak peringkat latihan,” jelasnya.

Ahmad Zahid turut menekankan peranan Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM), institusi milik RISDA, yang menyediakan laluan pendidikan dalam bidang pertanian moden, teknologi makanan, pengurusan ladang dan pensijilan halal.

“Saya mahu UCAM menjadi peneraju utama TVET pertanian bukan sahaja di Malaysia, tetapi di peringkat serantau,” tegasnya.

Sementara itu, Manndzri berkata, kejayaan para pelajar ini membuktikan Program Tuisyen Rakyat kekal relevan dan berimpak tinggi dalam memperkasakan pendidikan luar bandar.

Beliau memaklumkan, bagi tahun 2025, RISDA telah menerima peruntukan sebanyak RM3.51 juta untuk melaksanakan program ini di 206 pusat tuisyen seluruh negara, melibatkan 1,095 guru berpengalaman.

“Fokus diberikan kepada subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah. Pusat tuisyen dibuka bukan sahaja di bandar, tetapi juga di kawasan luar bandar dan lokasi strategik lain agar akses lebih menyeluruh dan efisien,” katanya.

Beliau turut menyeru pelajar untuk terus berusaha melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, termasuk dalam bidang TVET yang kini terbukti bukan lagi laluan kedua tetapi antara pilihan utama.

“Terima kasih kepada YAB Menteri KKDW atas komitmen berterusan dalam memastikan pendidikan anak-anak desa terus diperkasa,” ujarnya.

Tuisyen Rakyat RISDA ubah nasib, SPM cemerlang jadi hadiah pengorbanan

Dari kanan: Siti Sarah, Nurul Hani dan Nursyafiqah.
Dari kanan: Siti Sarah, Nurul Hani dan Nursyafiqah.

KUALA LUMPUR - Tiga anak desa, tiga kisah berbeza namun berkongsi satu titik temu iaitu kejayaan gemilang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hasil usaha gigih, doa berpanjangan ibu bapa, dan bantuan Program Tuisyen Rakyat anjuran Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

Air mata gembira jelas di pipi tatkala nama mereka diumumkan sebagai penerima anugerah dalam Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang Program Tuisyen Rakyat RISDA Tahun 2024 sebuah penghargaan kepada kejayaan yang dibina dengan jerih payah dan semangat luar biasa.

Bagi Nurul Hani Affiezal, 18, kejayaan memperoleh 11A bukan sekadar angka atas kertas, ia adalah hadiah buat kedua ibu bapanya yang tidak pernah jemu memberi semangat meskipun kehidupan mereka serba sederhana.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Nilai, Negeri Sembilan itu mengakui program tuisyen yang ditawarkan secara percuma oleh RISDA menjadi titik tolak kecemerlangannya.

“Tuisyen Rakyat RISDA bantu kami fokus pada subjek asas dan fahami topik yang mencabar. Tanpa program ini, sukar untuk saya berdiri di sini hari ini,” katanya yang merupakan anak sulung daripada empat beradik dan menetap di Putrajaya.

Dari Kedah, kisah Siti Sarah Sabri, 18, pula membuktikan bahawa kejayaan bukan milik mereka yang kaya harta, tetapi yang kaya tekad dan keinginan.

Bekas pelajar SMK Gulau ini mengukir kejayaan dengan 10A, sekali gus membanggakan keluarganya yang bergantung kepada hasil kampung.

RISDA bukan sahaja menyediakan guru, malah turut menyalurkan bantuan dalam bentuk buku nota, alat tulis dan keperluan pembelajaran yang selama ini menjadi beban kewangan keluarganya.

“Tanpa bantuan ini, saya mungkin tidak dapat capai keputusan sebaik ini. Program ini bukan sekadar bantu akademik, ia bangunkan keyakinan dan semangat saya,” ujar Siti Sarah.

Sementara itu, Nursyafiqah I’zzati Mohd Affendi, 18, dari Sekolah Menengah Agama Al Ittifaqiah, juga tidak menyangka dirinya mampu meraih 9A selepas sekian lama berdepan cabaran memahami subjek teras.

“Dulu saya agak kurang faham pelajaran. Tapi selepas ikuti tuisyen ini, saya makin yakin dan seronok belajar. Alhamdulillah, ia banyak ubah prestasi saya,” katanya sambil berharap program berimpak besar itu diteruskan dan diperluaskan ke seluruh negara.

Ketiga-tiga pelajar itu membuktikan bahawa latar belakang bukan penghalang untuk mencapai kejayaan, asalkan diberi peluang, bimbingan dan sokongan.

Program Tuisyen Rakyat RISDA yang dirangka khusus untuk anak pekebun kecil ini menjadi landasan transformasi sosial luar bandar menyuluh jalan bagi pelajar-pelajar yang selama ini bergelut dalam diam.

Majlis yang berlangsung di ibu negara itu bukan sahaja menjadi pentas meraikan kejayaan, tetapi juga simbol kepercayaan bahawa pelaburan ilmu kepada anak-anak desa akan melahirkan insan cemerlang yang bakal memimpin negara suatu hari nanti.

Dengan sokongan berterusan RISDA, impian anak-anak luar bandar kini bukan lagi angan-angan tetapi menjadi kenyataan, dengan kejayaan demi kejayaan.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!