Imigresen Kelantan serbu Lojing, 25 PATI dicekup

GUA MUSANG - Seramai 25 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan dalam satu serbuan menerusi Ops Sapu yang dijalankan di kawasan tanah tinggi Lojing pada Isnin.
Pengarah JIM Kelantan, Mohamed Yusoff Khan Mohd Hassan berkata, kesemua PATI ditahan selepas pemeriksaan ke atas 36 warga asing yang berada di kawasan tersebut.
"Daripada jumlah itu, seramai 14 lelaki dan enam wanita merupakan warga Myanmar, manakala empat lelaki warga Bangladesh serta seorang lelaki warga Nepal turut ditahan.
"Kesemua yang ditahan telah diserahkan ke Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, operasi yang bermula pada jam 5 petang itu melibatkan seramai 28 pegawai dan anggota daripada Bahagian Penguatkuasaan JIM Kelantan.
Dalam masa sama, Mohamed Yusoff Khan turut menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan keberadaan PATI atau aktiviti yang melibatkan warga asing yang melanggar undang-undang.
"Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bersubahat, menjadi dalang atau memudah cara dalam melindungi PATI," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

