Akta Keselamatan Dalam Talian dijangka dilaksana hujung tahun ini

SHAH ALAM – Akta Keselamatan Dalam Talian (OnSA) dijangka dapat diguna pakai dan dikuat kuasa pada hujung tahun ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, jangkaan itu dibuat setelah beberapa peraturan disiapkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“Dalam masa sama SKMM sedang meneliti keperluan untuk platform media sosial meletakkan label kecerdasan buatan (AI) ‘generated’ sama ada kandungan itu dihasilkan telah ditambah baik atau diolah oleh AI.
“Kita lihat ini boleh dilaksanakan menerusi Akta 868 atau OnSA. Insya-ALLAH, boleh dilaksanakan hujung tahun ini setelah peraturan disiapkan SKMM,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) mengenai kebimbangan kandungan janaan AI berunsur palsu asli yang mengelirukan serta cabaran mengatasi keadaan itu.
Fahmi berkata demikian pada sesi waktu pertanyaan-pertanyaan (MQT) di Dewan Rakyat pada Selasa.
Tambahnyai, pengguna juga perlu ada kesedaran bahawa tidak semua yang disaksikan di media sosial itu benar.
Katanya, setiap orang perlu ada keupayaan membuat pengesahan mudah bagi kandungan, bukan sekadar membabitkan janaan AI dan 'deepfake' sebagainya.
“Malah ini dibincangkan beberapa media barat. Kini (kandungan) janaan AI boleh menghasilkan video seolah-olah wartawan berada di lokasi untuk membuat pelaporan mengenai kejadian yang langsung tidak berlaku.
“Maka kita kena berwaspada namun tidak mencukupi.
“Oleh itu, platform media sosial mempunyai tanggungjawab yang mana mereka tidak boleh membiarkan kandungan bersifat palsu ini disebarkan sedemikian rupa,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

