Pembinaan RKAT Kem Lok Kawi dijangka siap hujung tahun ini - Ahmad Maslan

PUTATAN - Pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Kem Lok Kawi, di sini, dijangka siap hujung tahun ini menerusi dua langkah yang akan dilaksanakan bagi mempercepatkan kerja pembinaan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, projek itu mengalami sedikit kelewatan, namun pihak kontraktor telah diminta untuk mengambil langkah pembaikan bagi memastikan ia dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.
"Kontraktor akan menyiapkan projek ini pada tahun ini juga. Antara usaha yang mereka lakukan ialah pertama, menambah bilangan pekerja, di mana saya telah mencadangkan agar mereka mengambil pekerja tempatan.
"Kaedah kedua untuk menyegerakan projek ini adalah dengan pekerja pembinaan melakukan kerja sehingga 12 tengah malam. Kita juga berusaha supaya ada syif dari jam 12 tengah malam hingga 7 pagi. Ini satu perkara yang menarik kerana kita ingin mengejar masa," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa lawatannya ke tapak projek pembinaan RKAT di Kem Lok Kawi, di sini, pada Isnin.

Sebelum itu, beliau memaklumkan bahawa projek RKAT tersebut melibatkan pembinaan 513 unit kediaman pelbagai kelas untuk warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di kawasan seluas kira-kira 257 hektar.
Sehubungan itu, bagi mempercepatkan pembinaan, kaedah tersebut akan dimulakan dua hari selepas sambutan Hari Raya iaitu pada awal bulan depan.
"Sepatutnya pembinaannya siap mengikut jadual pada Ogos ini, tetapi kita berikan lanjutan sehingga hujung tahun ini, paling lewat sekitar November atau Disember.
"Jadi, pelaksanaan akan diteruskan dua hari selepas Hari Raya. Tarikh Hari Raya sudah ditetapkan, jadi kita hanya beri dua hari cuti sahaja," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
