Kanak-kanak dipukul di kepala guna tukul besi di hadapan lif

JOHOR BAHRU – [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki ditahan selepas disyaki mencederakan seorang kanak-kanak perempuan menggunakan tukul besi dalam kejadian di Flat Ungku Tun Aminah yang video kejadiannya tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, laporan berhubung insiden itu diterima daripada seorang wanita yang mendakwa anak perempuannya diserang oleh seorang lelaki, kira-kira jam 5.19 petang pada Sabtu.
"Mangsa yang berusia 12 tahun mengalami pendarahan di kepala dan dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan.
"Keadaannya kini dilaporkan stabil dengan kecederaan koyakan di kepala serta bengkak di tangan kanan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurut beliau, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Balai Polis Tun Aminah berjaya menahan suspek di kediamannya sekitar kawasan Johor Bahru pada hari sama jam 7.25 petang.
"Hasil semakan mendapati suspek warga tempatan berusia 39 tahun itu mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau termasuk berkaitan dadah dan ujian air kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.

"Suspek dibawa ke Mahkamah Johor Bahru dan direman selama tujuh hari bermula Ahad hingga 2 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," tambahnya.
Sebelum itu, tular video berdurasi dua minit 19 saat memaparkan seorang lelaki mundar mandir di hadapan kawasan lif dan beberapa kanak-kanak perempuan berada di lokasi berkenaan.
Kedengaran jeritan seorang kanak-kanak sebelum lelaki terbabit dilihat berlari meninggalkan kawasan berkenaan.
Kanak-kanak perempuan seterusnya memasuki lif dan memegang kepalanya yang berdarah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

