Tiada rundingan Dr Mahathir-Muhyiddin kekalkan saya di Kedah: Mukhriz

Gambar dari kiri: Muhyiddin, Mukhriz
Gambar dari kiri: Muhyiddin, Mukhriz
A
A
A

ALOR SETAR - Tiada sebarang rundingan antara Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam usaha mengekalkan jawatan Menteri Besar Kedah kepada Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Penafian itu dimaklumkan sendiri Mukhriz berhubung dakwaan wujudnya rundingan dan dakwaan beliau didakwa diberi tempoh sebulan untuk menyertai Perikatan Nasional atau terpaksa melepaskan jawatan Menteri Besar.

Mukhriz berkata, beliau tidak dimaklumkan mengenai tempoh tertentu kononnya untuk mendamaikan dua pihak itu yang kini berseteru dalam parti.

“Saya tidak dimaklumkan langsung mengenai tempoh itu. Setahu saya, tiada sebarang rundingan antara Dr Mahathir dan Muhyiddin,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Wabak Koronavirus peringkat negeri Kedah di Wisma Darul Aman hari ini.

Terdahulu, laporan sebuah portal berita mendakwa Mukhriz diberi tempoh sebulan untuk mempertimbangkan tawaran menyertai Perikatan Nasional dan mengekalkan kedudukannya.

Sumber mendakwa, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menyertai Bersatu selepas dipecat Parti Keadilan Rakyat (PKR), diberi tugas memujuk Mukhriz manakala Perdana Menteri, Muhyiddin cuba berdamai dengan Dr Mahathir di peringkat Persekutuan.

Sumber itu juga mendakwa perubahan kerajaan di Kedah tidak dapat dielakkan sama ada ‘dengan atau tanpa Mukhriz’.

Dijangkakan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu dan tiga wakil PKR akan menyokong pembentukan kerajaan Perikatan Nasional di Kedah.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, apa jua keputusan kelak akan didasarkan kepada bagaimana Dr Mahathir bertindak balas terhadap cubaan Muhyiddin untuk memujuk negarawan itu agar berdamai.

Mengulas mengenai kesediaan Dr Mahathir untuk berjumpa dengan Muhyiddin, Mukhriz berkata, sehingga kini tiada perkembangan dan masih dengan pendiriannya.

“Setahu saya, sehingga kini, Dr Mahathir masih dengan pendirian belum masanya sesuai jumpa Muhyiddin selepas permohonan itu diserahkan menerusi surat,” katanya.

Pada awal Mac lalu, Muhyiddin telah mengutus surat kepada Dr Mahathir bagi mengatur pertemuan antara dua pemimpin ini.