Lelaki maut dirempuh kereta beberapa meter dari rumah

Kesan rempuhan pada kereta Volkswagen dipandu lelaki berusia 25 tahun.
Kesan rempuhan pada kereta Volkswagen dipandu lelaki berusia 25 tahun.
A
A
A

JEMPOL – Seorang lelaki maut hanya beberapa meter dari rumahnya selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kereta di Kilometer 6, Jalan Bahau–Juasseh, awal pagi Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, mangsa, Mohamad Hidayatullah Mohamad, 36, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah dari kedai makan yang terletak di seberang jalan, tidak jauh dari kediamannya.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Norhisham Mustapar berkata, siasatan awal mendapati motosikal mangsa keluar dari simpang kiri jalan ketika sebuah kereta Volkswagen yang dipandu lelaki berusia 25 tahun datang dari arah Kuala Lumpur menuju ke Bahau.

“Setiba di lokasi kejadian, kereta berkenaan yang sedang bergerak terus sebelum secara tiba-tiba motosikal mangsa keluar dari simpang.

“Pemandu kereta cuba mengelak ke kanan tetapi tidak sempat dan melanggar motosikal mangsa yang dalam perjalanan pulang ke rumah,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Katanya, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan kaki sebelum dikejarkan ke Hospital Kuala Pilah, namun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 5.10 pagi semasa menerima rawatan.

Sementara itu, pemandu kereta berkenaan hanya mengalami kecederaan ringan.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu menyebabkan kematian kerana memandu secara melulu atau berbahaya.

Polis meminta mana-mana saksi kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Fasha Haiqal di talian 016-3627746.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!