[VIDEO] KKM lancar Ops Selamat Papa, kawal ketat penjualan vape
KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melancarkan Ops Selamat Paru-Paru (Ops Selamat Papa) pada Jumaat ini bagi memastikan pelaksanaan penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) dapat dijalankan secara menyeluruh dan berkesan.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, usaha bersepadu itu penting untuk mengawal ketat penjualan rokok elektronik atau vape di pasaran.
Selain itu, Ops Selamat Mama juga turut dilaksanakan sebagai langkah melindungi pasangan atau isteri daripada terdedah kepada toksin asap rokok daripada perokok pasif atau tegar.
“KKM dan saya sendiri sangat mengalu-alukan dan menyokong pendirian enam kerajaan negeri yang mengambil sikap untuk tidak mengeluarkan atau memperbaharui lesen penjualan rokok elektronik atau vape kepada premis-premis yang menjual produk tersebut.
“Itu adalah langkah yang baik, meskipun ia tidak dapat membanteras sepenuhnya penjualan ini kerana masih terdapat penjualan secara berleluasa di kedai-kedai runcit dan serbaneka,” katanya pada sidang akhbar di Parlimen di sini pada Isnin.

Beliau turut menegaskan bahawa kawal selia penjualan vape masih merupakan tanggungjawab utama di bawah Akta 852 yang diselia oleh KKM.
Sehubungan itu, katanya, sebarang usaha atau agenda ke arah pengharaman vape terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.
“Kalau kita lihat hasil daripada cadangan kumpulan jawatankuasa kepakaran rokok elektronik, Akta 852 adalah berkaitan dengan kawal selia dan bukan pengharaman vape,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

