Terjumpa meja sekolah sendiri selepas 33 tahun

Kisah dikongsi Shen itu tular di media sosial China dengan lebih 15 juta tontonan. Foto: Media China/tular
Kisah dikongsi Shen itu tular di media sosial China dengan lebih 15 juta tontonan. Foto: Media China/tular
A
A
A

HUAIAN – Seorang lelaki di wilayah Jiangsu di sini terkejut apabila menemui semula meja sekolah yang pernah digunakannya 33 tahun lalu dalam sebuah unit kediaman baru disewa.

Memetik laporan South China Morning Post, lelaki berkenaan dikenali sebagai Shen berpindah ke sebuah pangsapuri di daerah Huaiyin awal Julai lalu bagi membolehkan anaknya belajar di sekolah berhampiran.

Ketika membersihkan rumah, Shen dan isterinya terjumpa sebuah meja kayu kecil yang tercatat tulisan 'Qing' dan 'Zhong' serta nombor 246 iaitu inskripsi yang pernah tertulis pada meja sekolah lamanya di Sekolah Menengah Qingjiang sekitar tahun 1992.

“Saya terus teringat nombor itu. Meja rakan saya nombor 135, saya pula 246. Ia memang nombor meja saya. Saya sangat teruja. Semua kenangan sekolah menengah datang semula,” katanya.

Tulisan pada meja yang didakwa ditulis lelaki berkenaan. Foto: Media China/tular
Tulisan pada meja yang didakwa ditulis lelaki berkenaan. Foto: Media China/tular

Shen memberitahu, dia tidak menyangka akan menemui semula meja itu selepas lebih tiga dekad dan menganggap pertemuan itu sebagai sesuatu yang cukup simbolik dan bermakna dalam hidupnya.

Difahamkan, sekolah berkenaan telah menjual meja-meja lama selepas menjalani proses pengubahsuaian beberapa tahun lalu.

Meja itu kemudiannya dibeli pemilik pangsapuri untuk kegunaan penyewa yang mempunyai anak.

Artikel Berkaitan:

Kisah tersebut menjadi tular di media sosial China dengan lebih 15 juta tontonan apabila orang ramai turut tersentuh dengan pertemuan semula tidak disangka itu.

Shen mendakwa, Sekolah Menengah Qingjiang suatu ketika dahulu merupakan antara sekolah ternama di kawasan itu, namun kini semakin suram dan kurang dikenali.

“Saya berharap sekolah lama saya dapat pulih semula dan menjadi lebih baik seperti dulu,” ujarnya.

Katanya, jika berpeluang, dia berharap pemilik rumah dapat memberikannya meja itu sebagai kenangan apabila tempoh sewanya tamat kelak.

“Saya mahu simpan meja ini sebagai kenangan,” tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!