Grovii dinobat juara redONE Red Hot Aerodance

SHAH ALAM – Kumpulan Grovii dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam muncul juara pertandingan redONE Red Hot Aerodance yang berlangsung penuh meriah di pentas utama Karnival Siang Malam Karangkraf pada Ahad.
Kejayaan itu turut membolehkan kumpulan berkenaan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 berserta cenderahati eksklusif daripada redONE.

Kemenangan manis dikecapi kumpulan Grovii selepas mengetepikan saingan sengit lima kumpulan lain melalui persembahan bertenaga yang memukau para juri dan penonton.
Wakil kumpulan Grovii, Nur Sarah Sabrina Nazli, 22, berkata, mereka langsung tidak menjangka untuk menang.
"Ini kerana saingan kami semuanya bukan calang-calang pasukan.
“Kami bukan pelajar kelas tarian. Kami merupakan pelajar dari jurusan ekonomi, matematik, sumber manusia, perakaunan dan fisioterapi. Kami mengenali antara satu sama lain melalui kumpulan kebudayaan di universiti,” katanya sambil tersenyum.
Pertandingan yang disertai oleh enam kumpulan itu mengetengahkan elemen kecergasan seperti aerobik dan kardio, dengan setiap persembahan wajib memasukkan 10 pergerakan asas termasuk marching, jogging, step touch, V-step, jumping jack dan grapevine.
Koreografi pula perlu bergerak mengikut tempo antara 140 hingga 145 BPM.
Naib juara disandang oleh kumpulan TISTAR yang membawa pulang RM800, manakala tempat ketiga diraih kumpulan Fitness on Fire dengan hadiah RM600.

Semua peserta turut menerima cenderahati redONE sebagai tanda penghargaan.
Sementara itu, Pengurus Jualan redONE, Ahmad Syahir Nordin memuji semangat dan bakat luar biasa yang ditunjukkan para peserta dalam pertandingan itu.

“RedONE merasakan aktiviti seperti ini patut diperkenalkan lebih meluas dalam kalangan belia.
"Ia bukan sekadar hiburan tetapi merupakan gaya hidup sihat," katanya lagi.

Karnival Siang Malam Karangkraf 2025 diadakan selama tiga hari dari 25 hingga 27 Julai 2025.
Ia merupakan platform terbaik untuk komuniti berkumpul dan membawa anak-anak menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
