RM10 juta diperuntuk untuk projek pembangunan di Muar – PM

Anwar (tengah) Majlis Peluncuran Bulan Kemerdekaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang di Dataran Tanjung Emas pada Ahad.
Anwar (tengah) Majlis Peluncuran Bulan Kemerdekaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang di Dataran Tanjung Emas pada Ahad.
A
A
A

MUAR – Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan di daerah ini dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat dan merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu akan disalurkan segera supaya manfaatnya dapat dinikmati oleh penduduk Muar dalam masa terdekat.

“Kita mahu rakyat di Muar juga menikmati pembangunan yang seimbang. Justeru, peruntukan RM10 juta ini akan dimanfaatkan sebaiknya melalui pelbagai projek pembangunan yang telah dikenal pasti,” katanya.

Tambah beliau, pelaksanaan projek akan diselaraskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri bersama Pejabat Daerah Muar.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Bulan Kemerdekaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang di Dataran Tanjung Emas, pada Ahad.

Majlis berkenaan berlangsung dalam suasana penuh meriah dan warna-warni, diserikan dengan kehadiran ribuan rakyat pelbagai kaum yang hadir bagi menyemarakkan semangat patriotisme menjelang sambutan Hari Kebangsaan, 31 Ogos depan.

Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Dalam pada itu, Onn Hafiz menzahirkan penghargaan kepada kerajaan kerana memilih Johor, khususnya Muar, sebagai tuan rumah Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025.

Menurut beliau, Muar merupakan lokasi di mana sejarah kemerdekaan disemai dan melahirkan tokoh-tokoh penting yang membuka jalan kepada pembentukan negara bangsa termasuk Datuk Onn Jaafar, Tan Sri Mohamed Noah Omar dan Abdul Majid Salleh.

Artikel Berkaitan:

"Mereka bukan sahaja berani tetapi jujur dalam perjuangan dan tulus dalam khidmat mereka untuk tanah air.

"Maka, apabila Johor dan khususnya Muar dipilih sebagai lokasi pelancaran Bulan Kebangsaan tahun ini, saya percaya ini bukan satu kebetulan. Ini adalah satu penghargaan kepada sejarah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!