Isu royalti: KPDN serah kepada proses undang-undang

RANAU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerahkan sepenuhnya kepada proses mahkamah berhubung semakan kehakiman yang difailkan beberapa pihak terhadap usaha kerajaan memperkemas pengurusan royalti muzik di negara ini.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, beliau, KPDN dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dinamakan sebagai responden dalam semakan kehakiman tersebut yang kini sedang melalui proses mahkamah.
“Kita serah kepada proses undang-undang dan sistem kehakiman. Matlamat saya adalah memastikan hak semua pihak dilindungi dan dipelihara, termasuk artis dan karyawan.
“Ramai yang akhirnya hidup dalam keadaan susah dan kerajaan tidak boleh dilihat tidak melakukan sesuatu dalam mewujudkan kerangka perundangan yang lebih jelas dan menyeluruh,” katanya selepas menghadiri Karnival Jelajah KPDN Zon Sabah di Ranau, pada malam Sabtu.
Sebelum karnival berlangsung, beliau turut berkesempatan bertemu dua artis tempatan Sabah, Bella Astillah dan Elica Paujin, serta berbincang ringkas mengenai perkembangan kerjaya dan kefahaman mereka terhadap isu royalti muzik yang semakin mendapat perhatian umum.
Mengulas lanjut, Armizan menjelaskan bahawa antara ikhtiar KPDN melalui MyIPO ialah memperkenalkan Garis Panduan (GP) bagi Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO) di bawah Seksyen 27M, Akta Hak Cipta 1987.
Langkah itu katanya, bertujuan menambah baik ekosistem pengurusan royalti muzik negara.
“MyIPO diberi kuasa untuk mengeluarkan garis panduan berkaitan perisytiharan dan pengendalian CMO, iaitu organisasi yang diberi mandat oleh pemunya hak cipta untuk menguruskan hak royalti mereka.
“Hasrat kita ialah untuk meningkatkan ketelusan tadbir urus, kutipan dan pembayaran royalti muzik, selain memperkukuh advokasi serta pematuhan oleh semua pihak berkepentingan,” katanya.
Beliau menekankan bahawa karya dan bakat karyawan adalah aset yang perlu dihargai dan dilindungi secara sistematik, bukan hanya ketika mereka aktif berkarya, tetapi juga sepanjang hasil karya mereka masih dimanfaatkan oleh pengguna.
“Saya sering ulangi, karya dan bakat adalah harta, karya dan bakat adalah sumber rezeki. Menjadi tanggungjawab saya sebagai Menteri KPDN untuk memastikan harta dan rezeki itu terus dinikmati oleh para karyawan muzik,” tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
