Percikan api memukau di Karnival Siang Malam Karangkraf

SHAH ALAM - Langit malam Dataran Karangkraf diterangi percikan api memukau apabila kumpulan seni api profesional, Pyromantra tampil menggegarkan pentas Karnival Siang Malam Karangkraf dengan persembahan berani dan bertaraf antarabangsa.
Pertunjukan api itu berlangsung dua malam berturut-turut dengan acara kemuncak pada malam Sabtu, bersempena sambutan Ulang Tahun ke-19 Sinar Harian.
Menariknya, persembahan itu dibawakan khas secara percuma buat pengunjung karnival sebagai acara kemuncak yang menggabungkan elemen api, seni gerakan dan adrenalin, sesuai untuk semua peringkat usia.
Menurut salah seorang fire artist kumpulan tersebut, Izzat Haiqal Zamarul Hisham, 26, persembahan mereka bukan sekadar hiburan visual tetapi turut membawa mesej keunikan seni ekstrem yang jarang dilihat secara langsung.

“Kami bawa seni api ke satu tahap yang selamat, profesional dan penuh nilai estetika. Setiap pergerakan, percikan dan lontaran api itu dikawal dengan penuh disiplin dan latihan bertahun-tahun.
“Bagi persembahan hari Jumaat, ia sekadar gimik ringkas melibatkan tiga artis tapi pada Sabtu malam nanti akan lebih besar, dengan lebih ramai ahli dan aksi yang jauh lebih menakjubkan,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Karnival Siang Malam Karangkraf yang berlangsung di Dataran Karangkraf, Shah Alam menyajikan pelbagai tarikan termasuk jualan buku, gerai makanan, persembahan artis, aktiviti keluarga dan cabutan bertuah sepanjang tiga hari, bermula dari 25 hingga 27 Julai.
Orang ramai yang ingin menyaksikan pertunjukan api kumpulan Pyromantra boleh hadir ke Karnival Siang Malam Karangkraf pada malam Sabtu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

