4 minit yang mendebarkan di 'Rumah Hantu'

SHAH ALAM - Hanya kira-kira empat minit, tetapi tempoh tersebut cukup mendebarkan bagi pengunjung yang merasai sendiri pengalaman masuk 'Rumah Hantu' sempena Karnival Siang Malam Karangkraf 2025 yang membuka tirai pada Jumaat.
Aktiviti yang menjadi antara tarikan utama karnival itu diserbu pengunjung, khususnya dalam kalangan murid sekolah, yang beratur seawal jam 9 pagi bagi merasai pengalaman menyeramkan yang ditawarkan.
Salah seorang murid, Shakila Abdul Aziz, 12, berkata, aktiviti 'Rumah Hantu' menjadi perkara yang ditunggu-tunggu membuatkannya tidak melepaskan peluang menguji keberanian diri.
Katanya, ia adalah pengalaman kali ke-5 menyertai aktiviti seumpama itu dan menyifatkan penyertaan kali ini sebagai berbaloi.
"Walaupun sekejap, tapi saya rasa macam lama ada kat dalam Rumah Hantu tu.
"Memang seram dan buat saya terkejut," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Seorang lagi murid, Ahmad Wafiuddin Jefree Sham, 12, juga mengakui berpuas hati dengan pengalaman masuk ke 'Rumah Hantu' bersama rakan-rakan.
"Sebenarnya saya ni penakut, tapi saya nak cabar diri. Saya dan kawan-kawan pun seronok," katanya teruja.
Sementara itu, Eksekutif Pemasaran Grup Buku Karangkraf, Muhamad Khair Mohd Sabilan berkata, 'Rumah Hantu' bagi penganjuran kali ini mengetengahkan konsep bebas selari dengan konsep karnival siang malam.
Katanya, dengan hanya bayaran RM5, pengunjung akan 'dibawa berjalan' selama kira-kira 4 minit dalam suasana menyeramkan, 'disambut' oleh hantu tradisional Malaysia seperti puntianak, pocong, nenek kebayan, langsuir serta hantu barat.
"Aktiviti ini dibuka sehingga jam 11 malam... pertama kali penganjuran sehingga waktu malam.

"Buat masa ini kita akan lepaskan peserta secara berkumpulan, sekurang-kurangnya lima orang dalam satu-satu masa.
"Jadi pengunjung yang berani, boleh datang dan rasai sendiri pengalaman," katanya.
Karnival Siang Malam Karangkraf 2025 membuka tirai dengan pelbagai pengisian menarik disediakan untuk pengunjung di Dataran Karangkraf, Seksyen 15 di sini bermula pada Jumaat hingga Ahad ini dari jam 9 pagi hingga 12 malam.
Antara aktiviti yang akan berlangsung selama tiga hari karnival berlangsung ialah rumah hantu, go-kart, Pasar Saloma, pertandingan-pertandingan melibatkan pelajar sekolah dan jualan buku yang menawarkan promosi menarik.
Karnival tersebut dirancang untuk menjadi acara komuniti berskala besar yang memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk turut serta, khususnya penduduk di sekitar Lembah Klang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
