KTMB jamin semua perkhidmatan tren, stesen beroperasi seperti biasa esok

KTMB jamin semua perkhidmatan tren termasuk KTM Komuter dan tren elektrik (ETS) akan beroperasi seperti biasa pada Sabtu. - Gambar hiasan
KTMB jamin semua perkhidmatan tren termasuk KTM Komuter dan tren elektrik (ETS) akan beroperasi seperti biasa pada Sabtu. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memberi jaminan bahawa semua perkhidmatan tren termasuk KTM Komuter dan tren elektrik (ETS) akan beroperasi seperti biasa pada Sabtu, 26 Julai 2025.

Jaminan tersebut dikemukakan susulan kenyataan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang menegaskan bahawa semua pengangkutan awam akan beroperasi seperti biasa walaupun terdapat program Himpunan Turun Anwar yang dijangka berlangsung di ibu negara.

Dalam kenyataan medianya, KTMB memaklumkan bahawa operasi di semua stesen dan laluan tren akan berjalan mengikut jadual asal dengan keutamaan diberikan kepada aspek keselamatan dan keselesaan penumpang.

“KTMB menyambut baik saranan YB Menteri Pengangkutan dan komited memastikan perjalanan pengguna berjalan lancar serta teratur,” menurut kenyataan itu pada Jumaat.

Bagi melancarkan urusan perjalanan, KTMB menasihatkan pengguna agar merancang perjalanan lebih awal dan menyemak jadual terkini di laman sesawang www.ktmb.com.my serta mematuhi arahan kakitangan dan pengumuman di stesen.

“Pengguna turut disarankan menggunakan aplikasi KTM Mobile (KITS) dan semakan jadual menerusi MyRailtime serta membuat pembayaran tanpa tunai menggunakan kad debit atau kredit, e-dompet dan Touch ’n Go,” menurut kenyataan itu lagi.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200 atau melalui saluran media sosial rasmi.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!