Lapan ditahan kes pukul peragut hingga mati

KAJANG - Seramai lapan individu ditahan bagi membantu siasatan kes memukul peragut hingga maut dalam kejadian berhampiran Batu 9, Cheras di sini pada Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat pada jam 11.10 pagi daripada orang awam berhubung kejadian cubaan ragut terhadap seorang wanita berusia 36 tahun yang bekerja sebagai guru tadika.
Katanya, suspek lelaki yang dipercayai warga asing telah ditahan oleh orang awam.
“Polis bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati lelaki terbabit terbaring dalam keadaan cedera dan tidak sedarkan diri.
“Pegawai perubatan di lokasi kejadian mengesahkan suspek telah meninggal dunia dengan kesan pukulan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, pada hari yang sama, polis menahan lapan lelaki warga tempatan berusia antara 22 hingga 72 tahun yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut bagi membantu siasatan.
Menurutnya, kesemua tangkapan direman selama enam hari sehingga 28 Julai ini untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Jelasnya, mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini atau butiran si mati boleh menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintenden Ong Eng Yew di talian 012-6966849 atau menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
“Polis Daerah Kajang turut menasihati masyarakat agar sentiasa mematuhi undang-undang ketika melakukan tangkapan dan segera menghubungi pihak berkuasa bagi tindakan sewajarnya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
