‘Tepat pada waktunya’ - Bantuan SARA ringankan beban keluarga B40

TEMERLOH – Bagi keluarga besar seperti Samsurina Mahmud, 58, yang menetap di Kampung Batu Kapor di sini, bantuan tunai RM100 di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) disifatkan sebagai 'rezeki berganda' yang hadir tepat pada waktunya.
Tinggal bersama tujuh anak di bawah satu bumbung, pemberian menerusi MyKad bermula 31 Ogos depan memberi kelegaan besar buat keluarganya.
Menurutnya, sebelum ini dia merupakan penerima bantuan tersebut, namun tidak semua anak-anaknya menerima manfaat sama.
"Semalam memang ada dengar pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, lepas tahu memang tarik nafas lega.
"Terima kasih kepada kerajaan, nilai RM100 yang akan diterima nanti sangat bermakna," katanya yang kehilangan suami, Ahmad Rajali Abdul Majid, 66, sejak enam bulan lalu.
Salah seorang anaknya, Rini Australini, 26, turut menghargai bantuan berkenaan yang dapat dimanfaatkan untuk membeli barangan keperluan harian keluarganya.
"Bantuan ini perlu digunakan sebaik mungkin dan saya bersyukur kerana kami turut mendapat perhatian kerajaan," ujarnya.
Dalam pengumuman yang disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen pada Rabu, Anwar berkata, bayaran SARA secara individu itu dibuat bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2025 pada hujung bulan depan.
“Bantuan ini boleh dibelanjakan mulai 31 Ogos hingga 31 Disember bagi membeli barangan asas di lebih 4,100 premis termasuk pasar raya utama seperti Mydin, Lotus’s, Econsave dan 99Speedmart serta kedai runcit di seluruh negara,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

