Pengembara Malaysia redah laluan darat 11,650 km ke Afghanistan

Abdul Aziz berkongsi pengalaman ke Afghanistan menggunakan pengangkutan awam darat. Foto TikTok Abdul Aziz
Abdul Aziz berkongsi pengalaman ke Afghanistan menggunakan pengangkutan awam darat. Foto TikTok Abdul Aziz
A
A
A

SHAH ALAM – Seorang lelaki memilih untuk melakukan perjalanan sejauh 11,650 kilometer (km) ke Afghanistan menggunakan laluan darat.

Menerusi perkongsian di akaun TikTok milik @jijiazizann, lelaki tersebut menggunakan pelbagai kemudahan pengangkutan awam seperti kereta api, bas, teksi dan kereta sewa untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain.

Abdul Aziz Azizan, 30, berkata, beliau membelanjakan kira-kira RM10,000 bagi menjayakan misi pengembaraannya ke negara Asia Barat itu.

“Perbelanjaan Trans Asia ialah RM3,000, Trans Asia Dua dan Laluan Sutera pula RM6,000, manakala Afghanistan RM1,000 termasuk visa.

“Idea ini timbul setelah saya mendapat maklumat mengenai laluan kereta api dari Kunming menuju ke Urumqi, China, jadi saya merancang untuk ke sana serta meneruskan perjalanan masuk ke Asia Tengah dan Asia Selatan,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Abdul Aziz menggunakan pelbagai kemudahan pengangkutan awam seperti kereta api, bas, teksi dan kereta sewa untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain. Foto TikTok Abdul Aziz
Abdul Aziz menggunakan pelbagai kemudahan pengangkutan awam seperti kereta api, bas, teksi dan kereta sewa untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain. Foto TikTok Abdul Aziz

Menurut perkongsian di TikTok, Abdul Aziz memulakan perjalanan solonya dari Butterworth ke Padang Besar, sebelum menaiki kereta api ke Hatyai, Thailand, yang mengambil masa kira-kira 1 jam 40 minit.

Perjalanan itu melibatkan laluan Trans Asia merentasi Malaysia, Thailand, Laos dan China. Ia kemudian disambung dengan laluan Trans Asia Dua membabitkan Kunming ke Urumqi, yang memakan masa sekitar 39 jam.

Artikel Berkaitan:

Abdul Aziz seterusnya meneruskan misi kembaranya melalui Laluan Sutera merangkumi negara Kazakhstan, Kyrgyzstan, Uzbekistan dan Tajikistan, sebelum melalui rangkaian Grand Trunk Road melibatkan Uzbekistan dan Afghanistan.

Peta laluan ke Afghanistan mengikut jalan darat. Foto TikTok Abdul Aziz
Peta laluan ke Afghanistan mengikut jalan darat. Foto TikTok Abdul Aziz

Menurut Abdul Aziz yang juga seorang peniaga, beliau turut berdepan pelbagai cabaran sepanjang pengembaraan, terutamanya dalam aspek komunikasi dengan penduduk tempatan.

“Ada tempat yang saya perlu cari sendiri kerana penduduk tempatan tidak tahu kewujudan lokasi tersebut, seperti penginapan dan kedai makan.

“Selain itu, sempadan negara dari Shahturz, Tajikistan menuju ke Termez, Uzbekistan jarang digunakan oleh pengembara dan pelancong luar.

“Saya perlu menempuh perjalanan sekitar sejam lebih di gurun padang pasir untuk sampai ke kedua-dua sempadan ini,” ujarnya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!