Covid-19: ROS larang semua pertubuhan buat aktiviti

Warga Kuantan memakai penutup hidung dan mulut ketika berada di kawasan awam sebagai langkah pencegahan ekoran penularan COVID-19 ketika tinjauan foto Bernama hari ini. -Foto Bernama
Warga Kuantan memakai penutup hidung dan mulut ketika berada di kawasan awam sebagai langkah pencegahan ekoran penularan COVID-19 ketika tinjauan foto Bernama hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) hari ini mengeluarkan larangan kepada semua pertubuhan daripada mengadakan program, aktiviti, persidangan, perhimpunan dan mesyuarat agung sehingga 30 Jun depan berikutan situasi penularan koronavirus (Covid-19) semakin meruncing ketika ini.

ROS berkata, larangan itu selaras dengan arahan yang telah dikeluarkan oleh kerajaan dan terpakai di setiap peringkat pertubuhan termasuk cawangan-cawangan di seluruh negara.

Menurutnya, kerajaan kini sedang giat melaksanakan usaha untuk mencegah penularan wabak itu yang semakin menunjukkan peningkatan kes positif Covid-19.

Katanya, selaras dengan itu, beberapa arahan telah dikeluarkan oleh kerajaan agar semua perhimpunan termasuk mesyuarat diarahkan untuk ditangguhkan atau dibatalkan bagi suatu tempoh tertentu.

"Arahan khas yang dikeluarkan ini adalah selaras dengan kuasa-kuasa Pendaftar di bawah peruntukan Seksyen 3A, Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335].

"Namun sekiranya sehingga tarikh 30 Jun 2020 wabak Covid-19 masih dalam situasi meruncing, maka pertubuhan hendaklah mengemukakan permohonan kepada JPPM (ROS) untuk pertimbangan bagi perlanjutan tempoh dari tarikh awal yang telah ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, ROS berkata, permohonan perlanjutan tersebut bertujuan untuk mengelakkan penyalahgunaan oleh pertubuhan berdaftar ke atas undang-undang tubuh pertubuhan serta Akta 335.

Menurutnya, ROS sebagai sebuah jabatan kerajaan yang mengawal selia pertubuhan berdaftar di Malaysia turut terlibat dengan arahan-arahan dikeluarkan kerajaan kerana pertubuhan tersebut akan melaksanakan pelbagai program termasuk mesyuarat pertubuhan di pelbagai peringkat.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, mesyuarat-mesyuarat itu perlu dilaksanakan seperti yang telah ditetapkan dalam perlembagaan pertubuhan masing-masing.

"Adalah diharapkan agar segala usaha dan langkah pencegahan yang dilakukan kerajaan akan dapat membantu mencegah penularan Covid-19 sekaligus melindungi rakyat Malaysia daripada wabak ini," katanya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac lalu mengisytiharkan Covid-19 sebagai pandemik kerana terdapat peningkatan kes yang semakin ketara di seluruh dunia.