Pengumuman PM: Bantuan RM100 satu-satunya perkara menarik - MP Pasir Mas

SHAH ALAM – Hanya satu perkara yang menarik daripada pengumuman khas oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu ialah bantuan RM100 kepada semua rakyat dewasa Malaysia.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Fadhli Shaari berkata, bantuan itu yang bernilai keseluruhan RM2 bilion dilihat wajar, namun selebihnya hanyalah pengumuman biasa yang menurutnya boleh sahaja diumumkan pada bila-bila masa, terutamanya menjelang pembentangan Belanjawan 2026 nanti.
“(Namun) terpaksa diumumkan segera kerana ingin mengurangkan momentum kemarahan rakyat untuk turun (berhimpun) 26 Julai ini.
“Umpamanya, tidaklah padan dengan teaser yang ditayangkan seminggu sudah seolah-olah filem pecah panggung, rupanya filem cap ayam menggunakan software ciplak untuk proses editing,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Rabu.
Terdahulu, Anwar mengumumkan harga petrol RON95 akan turun untuk rakyat apabila penyasaran subsidi RON95 dilaksanakan nanti, rakyat Malaysia akan menikmati harga RON95 lebih rendah iaitu RM1.99 seliter.
Mengulas lanjut, Fadhli turut mempersoalkan penurunan harga RON95 sebanyak lima sen yang diumumkan Perdana Menteri secara langsung di kaca televisyen.
“RON95 turun lima sen, tidak padan dengan pengumuman seorang Perdana Menteri secara langsung di kaca televisyen,” ujarnya.
Selain itu, katanya, kenaikan harga lantai padi juga tidak memberi makna besar kepada pesawah memandangkan pelbagai kos pengeluaran lain turut meningkat.
“Harga lantai padi naik? Tapi tanyalah pesawah diesel naik, baja naik, mesin rosak, semua naik. Kos pengeluaran jauh lebih tinggi daripada harga lantai, yang untung bukan pesawah tapi tauke,” katanya.
Beliau juga membandingkan bantuan tunai RM2 bilion yang diumumkan kerajaan dengan hasil daripada penyasaran subsidi diesel sebanyak RM7.5 bilion.
“RM2 bilion bantuan tunai tiada apa-apa erti berbanding RM7.5 bilion hasil penyasaran subsidi diesel. Tiada yang berimpak jangka masa panjang. Hanya pengumuman biasa.
“Turun tetap turun! 26 Julai jumpa di Kuala Lumpur,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
