PM berani, serius mahu sejahterakan rakyat

Laporan Sinar Harian pada Rabu. Gambar kecil: Khairul Nizam
Laporan Sinar Harian pada Rabu. Gambar kecil: Khairul Nizam
A
A
A

SEREMBAN - Pelbagai inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tanda penghargaaan kepada rakyat negara ini adalah bukti keseriusan beliau mahu mensejahterakan rakyat.

Presiden Pertubuhan Briged Negaraku, Khairul Nizam Mohd Sopery berkata, langkah tersebut menunjukkan pemimpin nombor satu negara itu sebagai berani dan berpandangan jauh.

"Kami menyambut baik dan mengalu-alukan langkah berani serta berpandangan jauh Perdana Menteri yang telah mengumumkan pelbagai inisiatif pro-rakyat dalam sidang media khas pagi ini.

"Pengumuman ini sebagai langkah yang bukan sahaja praktikal tetapi menyentuh nilai keinsanan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Menurutnya, antara yang paling mendapat perhatian adalah pemberian RM100 kepada semua rakyat yang berusia 18 tahun ke atas.

Jelas beliau, nilai RM100 tersebut mungkin dianggap kecil bagi sesetengah orang tetapi amat bermakna bagi mereka yang sedang bergelut dengan kos sara hidup.

"Inilah bukti bahawa kerajaan Madani tidak melupakan mereka yang paling memerlukan.

"Begitu juga pengumuman penurunan harga RON95 kepada RM1.99 seliter yang antara dinanti-nanti rakyat selama ini," katanya.

Selain itu katanya, pemberian cuti kelepasan am tambahan pada 15 September sempena Hari Malaysia juga dapat memberi ruang kepada rakyat untuk benar-benar menjiwai dan menyambut makna sebenar kemerdekaan.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, pelancaran Sejahtera Madani iaitu peruntukan RM15 bilion bagi bantuan tunai Sumbangan Tunai Rahmah dan Sumbangan Asas Rahmah 2025 serta penangguhan kenaikan tol dijangka dapat melegakan jutaan pengguna.

"Penurunan kadar bil elektrik kepada 85 peratus pengguna domestik juga menunjukkan kerajaan benar-benar meneliti keperluan rakyat secara menyeluruh.

"Briged Negaraku percaya bahawa pengumuman hari ini (Rabu) adalah manifestasi kepimpinan yang bukan hanya merancang, tetapi mendengar dan bertindak,"katanya.

Khairul Nizam turut menyatakan Bridged Negaraku menyokong penuh komitmen Perdana Menteri dalam membina sebuah Malaysia yang lebih adil, inklusif dan berdaya saing.

"Kami menyeru seluruh rakyat untuk terus bersatu hati dan berdiri teguh bersama kepimpinan hari ini,"katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!