Kelantan cadang bina dua R&R di laluan LTU-KBKK

KOTA BHARU - Kerajaan negeri Kelantan bercadang membina dua kawasan rehat dan rawat (R&R) di jajaran Projek Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) dan Lebuhraya Kota Bharu–Kuala Krai (KBKK) bagi menyokong pembangunan ekonomi setempat serta pelancongan.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri Kelantan, Datuk Dr Izani Husin berkata, dua tapak telah dikenal pasti iaitu di Bukit Bakar, Machang dan Laloh, Kuala Krai.
“Dalam perancangan, kerajaan negeri bersetuju untuk membina R&R di dua lokasi itu.
“Kami telah kenal pasti tapak dan akan melaksanakannya apabila tiba masa yang sesuai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Zubir Abu Bakar (Pas - Mengkebang) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-15 di Kompleks Kota Darulnaim di sini pada Selasa.
Beliau berkata, keperluan R&R di Kuala Krai itu juga bagi memperkasa ekonomi dan pelancongan tempatan.
“Pembinaan R&R itu sejajar dengan keperluan perhubungan baharu yang juga berkait rapat dengan pembangunan ekonomi termasuk pembangunan Bandar Baharu Kuala Krai,” katanya.
Selain itu, Dr Izani yang juga ADUN Kijang berkata, reka bentuk R&R yang dicadangkan akan menampilkan elemen seni bina Kelantan.
“Kerajaan negeri perlu mengemukakan permohonan kepada agensi Persekutuan berkaitan untuk kelulusan dan pelaksanaan projek ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

