Taman Tema Air Sekayu dibuka semula Khamis ini

Azman meninjau keadaan Taman Tema Air di Taman Pertanian Negeri Sekayu yang bakal dibuka semula.
Azman meninjau keadaan Taman Tema Air di Taman Pertanian Negeri Sekayu yang bakal dibuka semula.
A
A
A

HULU TERENGGANU – Selepas menjalani proses pemulihan secara berperingkat sejak setahun lalu, Taman Tema Air di Taman Pertanian Negeri Sekayu akan kembali beroperasi dan dibuka kepada orang ramai pada Khamis ini.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Datuk Azman Ibrahim berkata, pembukaan semula taman tema tersebut dijangka menggamit semula kehadiran pengunjung yang merindui suasana santai dan aktiviti keluarga di kawasan agropelancongan itu.

“Kita buka semula taman tema air ini untuk dinikmati semula oleh rakyat selepas banyak usaha dilakukan untuk memulihkannya.

“Mari bawa anak-anak main air sambil bersantai,” katanya dalam hantaran di media sosialnya pada Isnin.

Taman Pertanian Negeri Sekayu terletak di Hulu Terengganu sebelum ini pernah menjadi antara lokasi pelancongan berasaskan pertanian paling popular di negeri ini dengan pelbagai tarikan menarik.

Antara aktiviti ditawarkan termasuk taman tema air terus daripada aliran air bukit yang jernih dan sejuk, ladang buah-buahan, tapak perkhemahan, asrama penginapan untuk program atau kursus, ladang lebah kelulut, kandang ternakan serta pelbagai aktiviti air.

Bagaimanapun, kemudahan itu terjejas teruk susulan beberapa bencana termasuk banjir besar pada 2022, serangan gajah liar serta fenomena kepala air yang mengubah suasana ceria kawasan berkenaan menjadi suram dan tidak terurus.

Taman Tema Air di Taman Pertanian Negeri Sekayu akan kembali beroperasi dan dibuka kepada orang ramai pada Khamis ini.
Taman Tema Air di Taman Pertanian Negeri Sekayu akan kembali beroperasi dan dibuka kepada orang ramai pada Khamis ini.

Artikel Berkaitan:

Menurut Azman, kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM2 juta melaksanakan kerja pemulihan secara berperingkat bermula tahun lalu.

“Pelbagai jabatan kerajaan seperti Pejabat Daerah, Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Daerah Hulu Terengganu, Jabatan Perhutanan, Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong dan Jabatan Pertanian memainkan peranan sebagai 'jabatan angkat' membantu menghidupkan kembali kawasan ini.

“Kerjasama rentas agensi membuktikan komitmen kerajaan negeri memulihkan kawasan pelancongan berpotensi tinggi, sekali gus merancakkan semula sektor ekonomi dan pelancongan domestik di daerah ini," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!