Hobi pancing haruan jana pendapatan sampingan tiga sahabat

PETALING JAYA – Minat mendalam terhadap aktiviti memancing bukan sahaja menjadi pengisi masa lapang, malah menjadi sumber pendapatan sampingan kepada tiga sahabat dari Lembah Klang.
Mohd Qhalik Ab Halim, 35; Mohamad Sazuan Mohd Fadil, 34; dan Mohd Rozi Mohd Rashid, 47, menjadikan hobi memancing ikan haruan sebagai usaha menambah pendapatan apabila berjaya memenuhi permintaan beberapa kedai makan dan restoran sekitar Bangsar, Jalan Klang Lama dan Petaling Jaya.
Menurut Mohd Qhalik, permintaan terhadap haruan hidup tinggi sehingga mereka tidak menang tangan untuk memenuhi semua tempahan.

“Kami cari haruan di kawasan paya dan ladang sawit sekitar Selangor dan Perak. Harga pasaran yang kami peroleh sekarang sekitar RM20 hingga RM30 sekilogram, bergantung kepada saiz dan permintaan.
“Saya akan memancing haruan sekurang-kurangnya seminggu sekali, terutama pada cuti hujung minggu,” katanya yang bekerja di sektor awam di ibu negara.
Tambahnya, permintaan turut datang daripada individu yang baru menjalani pembedahan kerana percaya khasiat ikan ini boleh membantu mempercepat proses pemulihan.
Mohamad Sazuan pula berkata, hasil tangkapan yang dijual memberi pendapatan tambahan untuk menampung kos harian, terutama dalam keadaan ekonomi semasa yang mencabar.
“Kami hanya guna kaedah memancing 100 peratus, dengan teknik casting menggunakan umpan tiruan. Tidak guna jaring atau kaedah lain kerana kami mahu pastikan haruan yang diperoleh lebih segar dan berkualiti,” katanya.
Sementara itu Mohd Rozi berkata, mereka hanya membawa pulang haruan bersaiz sekitar 400 gram ke atas bagi memastikan populasi ikan tersebut terus terpelihara.
Menurutnya yang bekerja di Shah Alam, harga jualan bagi haruan hidup lebih tinggi, manakala yang mati akan diproses menjadi ikan kering sebelum dijual.
Bagi peniaga kedai makan yang hanya mahu dikenali sebagai Che Maa, dia memerlukan bekalan sekurang-kurangnya 10 kilogram haruan seminggu untuk dijadikan pelbagai menu di kedainya yang terletak di Jalan Kuchai Lama.
“Agak sukar nak dapatkan stok haruan hidup, tapi setakat ini Mohd Qhalik dan rakan-rakannya mampu bekalkan ikan ini secara konsisten kepada saya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
