Program ukhuwah serlahkan pendekatan kerajaan dengar keluh-kesah rakyat

Anwar beramah mesra dengan penduduk yang hadir pada majlis Kenduri Rakyat sempena Program Ukhuwah Kepimpinan Kerajaan Madani di Kampung Pachitan, Port Dickson pada Ahad. Foto Bernama
Anwar beramah mesra dengan penduduk yang hadir pada majlis Kenduri Rakyat sempena Program Ukhuwah Kepimpinan Kerajaan Madani di Kampung Pachitan, Port Dickson pada Ahad. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM – Penyertaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam program ‘Ukhuwah Kepimpinan Kerajaan Madani’ menyerlahkan pendekatan kerajaan yang mendengar sendiri keluh-kesah rakyat.

Kelab Penyokong Kerajaan Madani (BBC) dalam satu kenyataan berkata, program itu yang disertai oleh anggota pentadbiran dan ahli-ahli Parlimen kerajaan di sekitar Port Dickson, Negeri Sembilan pada Ahad berpaksikan rakyat.

Menurutnya, selain mendengar rintihan rakyat, ia turut menyaksikan kepimpinan yang turun padang dan menyantuni mereka dengan empati serta tindakan yang nyata.

“Inilah contoh nilai ihsan dan tanggungjawab sosial yang menjadi tunjang kepada falsafah Malaysia Madani. Anggota pentadbiran dan ahli-ahli Parlimen Kerajaan Madani akan terus menyokong penganjuran program seumpama ini secara berterusan.

“Hanya dengan mendekati dan memahami denyut nadi rakyat, kita mampu membina sebuah negara yang lebih inklusif, adil dan bermaruah, selaras dengan aspirasi besar Malaysia Madani,” katanya.

BBC menegaskan, program itu juga merupakan manifestasi nyata komitmen Kerajaan Madani dalam menjadikan khidmat kepada rakyat sebagai teras kepimpinan.

Tambahnya, antara inisiatif yang dilaksanakan termasuklah program gotong-royong perdana di lokasi seperti Masjid PUSASDA, Kampung Telok Pelandok dan Kampung Pachitan.

“Jualan Rahmah juga turut dianjurkan dengan menawarkan barangan keperluan asas pada harga berpatutan, sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap cabaran ekonomi yang dihadapi rakyat.

“Program ini turut disemarakkan lagi dengan kenduri rakyat dan sesi ramah mesra bersama komuniti setempat. Suasana santai dan bermakna ini menggalakkan interaksi terbuka antara pemimpin dan rakyat, seterusnya memperkukuh semangat kekitaan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Kata BBC, ia juga menjadi manifestasi prinsip Madani yang meraikan nilai kasih sayang, saling menghormati dan perpaduan dalam masyarakat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!