Dituduh perosak rumah tangga, pelakon buat laporan polis

KUALA LUMPUR – Seorang pelakon wanita tampil membuat laporan polis selepas namanya dikaitkan sebagai punca keretakan rumah tangga pasangan selebriti yang kini tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, laporan dibuat oleh pengadu pada Jumaat lalu kira-kira jam 3.49 petang selepas mendakwa menjadi mangsa fitnah dalam satu hantaran di aplikasi TikTok.
"Hantaran dan komen negatif berkenaan turut dikongsi di platform lain seperti Instagram serta beberapa laman portal berita sehingga menjejaskan reputasi pengadu.
"Pengadu mendakwa namanya dikaitkan secara langsung dalam isu rumah tangga pasangan selebriti terbabit hingga mencetuskan spekulasi dan tanggapan buruk dalam kalangan netizen," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Katanya, kes berkenaan telah dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi tindakan lanjut termasuk permintaan untuk menurunkan kandungan yang berunsur fitnah tersebut.
"Pihak polis turut menjalankan siasatan lanjut dan menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan," katanya.
Terdahulu, spekulasi mengenai pergolakan rumah tangga pasangan selebriti menjadi perbualan hangat netizen apabila terdapat beberapa hantaran di media sosial yang mengaitkan seorang pelakon wanita sebagai orang ketiga dalam hubungan mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

