Kebakaran saluran gas: Mohamad Sabu gesa penduduk terkesan segera buat laporan polis

SUBANG JAYA – Mangsa yang terlibat dalam kebakaran saluran gas di Putra Heights, di sini, digesa untuk tampil membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dan tindakan susulan dilakukan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata pihak polis telah membuka kaunter khas bagi memudahkan mangsa membuat laporan berhubung kejadian tersebut.
"Kami berharap semua mangsa yang terjejas dapat membuat laporan polis dengan segera," katanya pada sidang akhbar di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di sini pada Khamis.
Pada Rabu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, dilaporkan berkata, setakat ini sebanyak 66 laporan polis telah diterima.
Laporan tersebut melibatkan rumah yang terjejas, terbakar, atau mengalami kesan ledakan iaitu sebanyak 32 laporan, kenderaan terjejas (29), empat laporan berkaitan kecederaan, dan satu laporan mengenai tanah lot.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
