'Saya akan terus berjuang, ini negara saya' - Tun M

SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa beliau akan terus berjuang dan menyumbang tenaga serta buah fikiran demi bangsa dan negara, walaupun usianya sudah mencecah hampir 100 tahun.
Dr Mahathir berkata, walaupun usia semakin lanjut, rasa cinta dan tanggungjawab terhadap tanah air tidak pernah pudar kerana Malaysia adalah tempat lahirnya.
“Saya lahir dan membesar di sini. Segala pahit maung dan suka duka pun di sini.
“Saya Melayu, ini negara Melayu dan ini negara saya.
“Alangkah baiknya nasib saya mempunyai negara sendiri, tetapi negara ini perlu dipelihara dengan baik. Jika tidak, akan hilanglah negara saya,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Tambah beliau, selagi masih bernafas, sumbangan tenaga dan akal fikiran untuk bangsa dan negara akan tetap diteruskan.
Dr Mahathir turut menolak pandangan sesetengah pihak yang berpendapat beliau perlu bersara dan menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab kepada generasi muda.
“Ya, saya tua. Tetapi rasa sayang kepada negara tidak pernah luntur.
“Saya ingin bersama yang muda memelihara bangsa dan melindungi negara tercinta. Selepas saya pergi, merekalah yang akan ambil alih,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

