PM bakal umum berita gembira Isnin atau Selasa ini

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Peluncuran Pelan Induk Bumiputera, Tunas MADANI dan Projek Perumahan JKPSB di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Permatang Pauh pada Sabtu. Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Peluncuran Pelan Induk Bumiputera, Tunas MADANI dan Projek Perumahan JKPSB di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Permatang Pauh pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

BUKIT MERTAJAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan bahawa satu pengumuman besar akan dibuat dalam tempoh terdekat sebagai tanda penghargaan luar biasa kepada rakyat.

Menurutnya, pengumuman itu dijangka dibuat pada Isnin atau Selasa ini, selepas perinciannya dimantapkan terlebih dahulu oleh Kementerian Kewangan.

Anwar berkata, pengumuman tersebut berkait rapat dengan usaha kerajaan menangani isu kos sara hidup yang semakin menghimpit rakyat.

“Masalah utama negara kita ketika ini ialah kos sara hidup. Tahun ini sahaja, kita membelanjakan RM10 bilion untuk kenaikan gaji dan elaun penjawat awam.

“Tahun depan pula, tambahan RM18 bilion. Dicampur dengan STR (Sumbangan Tunai Rahmah) sebanyak RM13 bilion, jumlah keseluruhan ialah RM23 bilion.

“Kenaikan kos sara hidup bukan berlaku di Malaysia sahaja, tetapi di seluruh dunia. Namun, saya tetap mencari jalan dan ikhtiar terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pelan Induk Bumiputera, Tunas MADANI dan Projek Perumahan JKPSB di Dewan Besar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang, di sini, pada Sabtu.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata pasukannya di kementerian itu sedang bergelut mencari pendekatan terbaik untuk diumumkan dalam masa terdekat.

“Sebab itu saya minta sedikit masa. Kalau bukan Isnin, mungkin Selasa.

Artikel Berkaitan:

“Dalam dua ke tiga hari ini, insya-Allah kita akan umum satu perkara besar. Sekarang kita sedang memperkemaskan dulu agar pelaksanaannya lebih mantap. Doakan yang baik-baik,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan bahawa beliau akan membuat satu pengumuman besar sebagai bentuk penghargaan luar biasa kepada rakyat Malaysia, namun belum memperincikan bentuk bantuan tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!