Badminton Allianz Media kumpulkan 11 pasukan media

PETALING JAYA - Sebanyak 11 pasukan media menyertai Kejohanan Badminton Allianz Media 2025 yang berlangsung meriah di TT Sports Centre, di sini semalam.
Pasukan New Straits Times (NST) muncul juara selepas menewaskan juara bertahan Astro 2-1 pada perlawanan akhir. Kemenangan itu memberi “revans” manis buat NST yang sekali gus meraih gelaran ketiga mereka sejak kejohanan bermula pada 2019.
Tempat ketiga menjadi milik Sin Chew Daily, manakala Bernama membawa pulang kejuaraan kategori Plate dengan Media Karangkraf sebagai naib juara Plate.
Kejohanan edisi kelima ini turut disertai pasukan tuan rumah Allianz Malaysia, dengan Astro Arena dan Sin Chew Daily membuat penampilan sulung. Format pertandingan menggunakan pusingan robin dengan dua kategori Beregu Lelaki dan satu Beregu Campuran.
“Ini acara yang saya nantikan setiap tahun kerana memberi peluang untuk kami berinteraksi dengan rakan-rakan media di luar waktu kerja,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia, Sean Wang, yang juga kapten pasukan Allianz.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
