Dubai umum cuti kahwin 10 hari bergaji penuh

Kerajaan Dubai mengumumkan dasar baharu iaitu pemberian cuti perkahwinan selama 10 hari bekerja dengan gaji penuh kepada warga UAE. Gambar hiasan
Kerajaan Dubai mengumumkan dasar baharu iaitu pemberian cuti perkahwinan selama 10 hari bekerja dengan gaji penuh kepada warga UAE. Gambar hiasan
A
A
A

DUBAI – Kerajaan Dubai mengumumkan dasar baharu iaitu pemberian cuti perkahwinan selama 10 hari bekerja dengan gaji penuh kepada warganegara Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang berkhidmat dalam pelbagai entiti kerajaan di bawah pentadbirannya.

Dasar yang akan bermula pada 1 Januari 2025 itu diumumkan oleh Perdana Menteri UAE merangkap Pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum.

Menurut laporan Khaleej Times, inisiatif ini mencerminkan komitmen kerajaan Dubai dalam memupuk keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi serta menyokong pembentukan institusi kekeluargaan yang kukuh dalam kalangan rakyatnya.

Cuti perkahwinan ini melibatkan pelbagai sektor kerajaan termasuk jabatan kerajaan Dubai, pihak berkuasa kehakiman, anggota tentera (tidak termasuk calon), zon bebas, zon pembangunan khas serta institusi seperti Pusat Kewangan Antarabangsa Dubai (DIFC).

Difahamkan, dekri ini turut membuka ruang untuk diperluaskan kepada lebih banyak kategori pekerja pada masa akan datang.

Bagaimanapun, terdapat beberapa syarat kelayakan yang ditetapkan bagi membolehkan seseorang pekerja layak menerima manfaat ini.

Antaranya, pekerja mestilah telah menamatkan tempoh percubaan dan berkahwin dengan pasangan yang juga merupakan warganegara UAE.

Selain itu, perkahwinan tersebut hendaklah diperakui oleh pihak berkuasa yang sah di UAE serta bertarikh selepas 31 Disember 2024.

Salinan sah kontrak perkahwinan turut perlu dikemukakan sebagai bukti untuk tujuan permohonan cuti.

Artikel Berkaitan:

Menurut Gulf News, pekerja yang layak akan menerima gaji penuh termasuk semua elaun dan faedah kewangan yang ditetapkan mengikut peraturan sumber manusia di tempat mereka berkhidmat.

Cuti perkahwinan ini boleh diambil pada bila-bila masa dalam tempoh setahun selepas tarikh perkahwinan, sama ada secara berterusan atau berperingkat.

Sekiranya terdapat keperluan munasabah dan dengan kelulusan penyelia, baki cuti juga boleh dibawa ke tahun berikutnya.

Langkah ini bukan sahaja memperlihatkan keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat, malah menyokong dasar jangka panjang negara untuk membina masyarakat yang bahagia dan stabil menerusi sokongan terhadap institusi keluarga. – Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!