Kestabilan Syria masih goyah

DAMSYIK — Pertempuran ganas antara pasukan keselamatan kerajaan dan komuniti minoriti di Syria telah menarik campur tangan Israel, sekali gus mencetuskan kebimbangan tentang keruntuhan negara tersebut setelah penggulingan rejim bekas Presiden Bashar al-Assad pada Disember lalu.
Damsyik masih berpecah belah meskipun ia cuba bangkit daripada pemerintahan diktator selama beberapa dekad dan perang saudara kira-kira 14 tahun.
Insiden pertempuran berlaku beberapa kali antara tentera kerajaan dan pejuang puak Druze hingga bertukar ganas sejak akhir-akhir ini.
Berikut ialah sebab utama yang membawa kepada peningkatan konflik tersebut.
'Asingkan diri'
Puak Druze ialah kumpulan minoriti yang bermula sebagai cabang puak syiah pada abad ke-10 dan lebih separuh daripadanya atau kira-kira sejuta tinggal di Syria manakala selebihnya mendiami Lubnan serta Israel termasuk di Bukit Golan yang diduduki Tel Aviv sejak Perang Enam Hari 1967.
Kubu kuat mereka terletak di wilayah Sweida dan beberapa kawasan di pinggir Damsyik terutamanya di Jaramana dan Ashrafiyat Sahanaya.
Kerajaan peralihan pimpinan Ahmed al-Sharaa berjanji untuk memastikan penglibatan puak minoriti termasuk Druze dalam pentadbirannya, namum hanya seorang wakil iaitu Menteri Pertanian, Amjad Badr dilantik bersama 23 anggota baharu pada akhir Mac lalu.
Druze mula bimbang dengan status quo baharu di Damsyik dan majoriti daripada anggota puak itu menyokong dialog dengan kerajaan manakala sebilangan kecil mahukan pendekatan lebih konfrontasi.
Laporan tentang serangan yang dilancarkan ke atas orang awam Druze hingga mencetuskan siri pertempuran sejak beberapa bulan lalu menyebabkan mereka 'mengasingkan diri' daripada pihak berkuasa baharu tersebut.

Bimbang hak diancam
Komuniti etnik minoriti mula khuatir dengan nasib mereka di bawah sistem pemerintahan baharu meskipun al-Sharaa memberi jaminan hak mereka akan dilindungi.
Ketika pemerintahan Assad yang didominasi puak Alawite, ia menindas sebahagian besar kumpulan Sunni dan hanya memberikan sedikit kuasa kepada golongan minoriti.
Sepanjang tempoh perang saudara yang berlarutan selama 14 tahun, Druze mempunyai kumpulan militia mereka sendiri untuk mempertahankan diri daripada ancaman Daesh.
Pada 2018, Daesh melancarkan serangan ke atas Druze di Sweida dan meragut lebih 200 nyawa.

Sengketa Bedouin-Druze
Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) mendedahkan pertempuran itu bermula selepas seorang lelaki Druze menyerang dan merompak pos pemeriksaan ditubuhkan puak Bedouin di Sweida pada minggu lalu.
Ia mencetuskan serangan balas antara kedua-dua kumpulan bersenjata puak tersebut.
Bagi meredakan ketegangan itu, pasukan keselamatan dikerahkan ke bandar berkenaan, namun didakwa berpihak kepada puak Bedouin untuk menyasarkan Druze.
Sehingga Rabu, kira-kira 300 termasuk orang awam dilaporkan terkorban dalam pertempuran ganas tersebut.
Konflik makin meningkat setelah tular rakaman video memaparkan tindakan tentera kerajaan membakar rumah orang awam Druze dan mencukur misai golongan lelaki secara paksa.
Israel yang cuba menjaga kepentingan mereka terutamanya di Bukit Golan kemudiannya bertindak campur tangan dan memberi alasan mahu melindungi puak Druze di Syria.
Ia bertindak melancarkan puluhan serangan termasuk ke atas kemudahan kerajaan di Damsyik dan mengancam tindakan lebih agresif hingga memaksa pengunduran tentera kerajaan dari bandar itu.
Di Tel Aviv, puak Druze dianggap sebagai kumpulan minoriti yang setia dan mereka sering berkhidmat dalam tentera.
Israel juga cuba mengekang kemaraan kumpulan militan berhampiran sempadan utara Tel Aviv memandangkan ia kini merampas kawalan zon penampan berhampiran Bukit Golan.
Keamanan rapuh
Pertempuran itu mengundang kebimbangan jika keganasan sektarian menjadi lebih teruk.
Pada Mac lalu, serangan hendap dilancarkan ke atas pasukan keselamatan kerajaan telah menyebabkan ratusan orang awam terkorban yang mana sebahagian besar daripadanya ialah anggota puak Alawite yang taat setia kepada Assad.
Sebuah suruhanjaya dilantik untuk menyiasat insiden itu, namun laporannya tidak didedahkan kepada umum.
Selain itu, ketegangan juga semakin meningkat dengan pihak berkuasa pimpinan Kurdish yang mengawal timur laut Damsyik.
Pada mulanya, Kurdish dan pasukan keselamatan kerajaan sepakat untuk langkah penggabungan, tetapi kedua-dua belah pihak gagal melaksanakan perjanjian itu.
Ketidakstabilan berterusan mengancam proses pemulihan Syria selepas konflik selama lebih sedekad yang turut mengakibatkan separuh daripada populasi praperang berjumlah 23 juta orang terpaksa menjadi pelarian.
Pada 2017, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan kos pembinaan semula Damsyik berjumlah kira-kira AS$250 bilion (RM1.06 trilion), namun pakar percaya angka itu boleh meningkat sehingga AS$400 bilion (RM1.7 trilion).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

