NLAC bentang garis cadangan tingkatkan sewa penginapan buruh - Kesuma

SHAH ALAM – Mesyuarat Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) telah membentangkan beberapa kertas kerja termasuk garis cadangan untuk meningkatkan kadar sewa atau caj maksimum bagi penginapan yang disediakan oleh majikan atau penyedia penginapan berpusat.
Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dalam satu kenyataan berkata, mesyuarat tersebut turut merangkumi reformasi perundangan perburuhan Malaysia termasuk pencapaian dan hala tuju strategik Kesuma serta semakan tatacara keharmonian perusahaan.
“Pada mesyuarat hari ini, Kesuma telah berkongsi maklumat berkaitan dasar, program, inisiatif serta perkembangan semasa pasaran buruh termasuk penglibatan kementerian di peringkat antarabangsa.
“Mesyuarat ini dihadiri oleh wakil kerajaan, wakil majikan dan wakil pekerja, selaras dengan keanggotaan baharu NLAC yang berkuat kuasa mulai 1 Mei 2025 hingga 30 April 2027,” katanya pada Isnin.
Menurut kenyataan itu lagi, kejayaan penganjuran mesyuarat berkenaan turut membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh platform kerjasama tiga pihak yang melibatkan kerajaan, majikan dan pekerja.
“Ia bertujuan membincang serta mendapatkan nasihat dan pandangan bersama berkaitan dasar, undang-undang dan amalan pekerjaan.
“Usaha ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Kesuma untuk menangani isu perburuhan secara inklusif ke arah memperbaiki keadaan pekerjaan, memantapkan amalan pekerjaan, dan seterusnya meningkatkan produktiviti negara,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

