Polis Selangor berdepan cabaran tangani maklumat palsu, fitnah di media sosial

SHAH ALAM - Keselamatan awam yang semakin kompleks sejajar dengan kepesatan pembangunan sosial dan politik menjadi cabaran yang perlu didepani Polis Selangor pada masa ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, antara cabaran besar yang pihaknya hadapi ketika ini adalah penyebaran maklumat palsu dan fitnah di media sosial.
"Selain itu, kita perlu menguruskan secara berhemah berkaitan himpunan dan protes jalanan.
"Cabaran lain adalah sentimen perkauman dan agama yang dimanipulasi secara bahaya, provokasi secara langsung di media sosial dan persepsi awam terhadap ketulusan institusi keselamatan," katanya dalam ucapan Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini pada Khamis.
Hussein berkata, bagi menghadapi semua perkara itu, Polis Selangor mesti kekal neutral, bertindak adil, berintegriti dan tegas dengan berpaksi undang-undang.
"Tiada ruang untuk berkompromi dalam hal undang-undang, prinsip dan kepercayaan awam," katanya.
Justeru beliau berkata, Polis Selangor mesti bersedia untuk bergerak seiring dengan transformasi teknologi serta kecerdasan buatan (AI).
"Saya menyeru pegawai kanan, pegawai rendah dan penjawat awam di Polis Selangor agar dapat memperkasakan keupayaan dalam bidang tersebut.
"Jadikan data serta teknologi sebagai pelengkap utama dalam misi pencegahan jenayah moden," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
