'Jangan cari saya' – Remaja Britain hilang tinggal pesanan terakhir buat ibu

David Balisong dilaporkan hilang sejak sebulan lalu.
David Balisong dilaporkan hilang sejak sebulan lalu.
A
A
A

SHAH ALAM – “Jangan cari saya, maaf atas semua ini.”

Itu antara kandungan pesanan terakhir seorang remaja lelaki warga Britain yang dilaporkan hilang di negara ini sejak sebulan lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan mendapati remaja terbabit, David Balisong, 17, sempat menghantar satu e-mel kepada ibunya pada 9 Julai lalu, kira-kira sebulan selepas kali terakhir dikesan berada di KL Sentral, Kuala Lumpur.

“Semakan mendapati e-mel tersebut merupakan komunikasi terakhir remaja itu dengan keluarganya.

“Dalam e-mel itu, dia meminta keluarga supaya tidak bimbang atau cuba mencarinya, selain memohon maaf atas tindakannya dan mendoakan kejayaan keluarga dalam kehidupan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Rabu.

Katanya, berdasarkan kandungan e-mel tersebut, Balisong tidak memaklumkan bila atau sama ada dia akan kembali kepada keluarganya.

“Setakat ini, seramai enam individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan kehilangan remaja itu.

“Mereka yang dirakam keterangan termasuk ibu mangsa, pemandu, petugas kaunter bas, pekerja premis pertukaran wang asing serta anggota polis,” katanya.

Menurutnya, siasatan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kali terakhir kelibat remaja itu dikesan adalah di lobi KL Sentral sekitar jam 10.09 pagi pada 7 Jun lalu.

Artikel Berkaitan:

“Setakat ini, tiada sebarang rekod menunjukkan remaja itu keluar dari negara ini dan usaha mengesannya masih giat dijalankan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan kehilangan Balisong yang merupakan seorang pelajar selepas dipercayai menaiki penerbangan dari Manchester ke Kuala Lumpur secara bersendirian.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!