Covid-19 wabak yang menular ke status pandemik

No Image Caption
A
A
A

SEJAK Disember 2019, isu koronavirus atau Covid-19 menjadi kebimbangan WHO dan dinyatakan sebagai pandemik baru-baru ini.

Bermula di wilayah Hubei China, virus Wuhan ini sehingga 15 Mac, membunuh kira-kira 5,839 orang, selain 156,760 lagi terjangkit menjadi pandemik global. Jangkitan pertama ini dikesan di pasar basah hidupan liar di Wuhan yang berada di wilayah Hubei, China di mana penduduknya memakan haiwan liar dan eksotik.

Penyakit Covid-19 mempunyai kadar jangkitan dan gejala berbeza, malah ada pesakit yang tiada gejala awal tetapi berupaya menyebarkan virus kepada individu lain (viral shedding), seterusnya merebakkan penyakit dengan cepat terutama kepada yang lemah sistem imun. Ini termasuk warga emas, pesakit yang komorbiditi seperti kencing manis, sakit jantung, dan masalah sistem respiratori.

Penyakit koronavirus ini sebenarnya bukan penemuan baharu. Covid-19 adalah sejenis virus RNA daripada memakan kelawar atau tenggiling, namun penyebabnya masih tidak dapat dipastikan lagi. Koronavirus ini juga penyebab kepada Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS) tahun 2012 hingga 2013 yang dijangkiti daripada unta dan Sindrom Penafasan Akut Teruk (SARS) tahun 2002-2003 dijangkiti daripada musang (civet).

Mengapa kes meningkat mendadak di Malaysia?

Langkah kawalan yang dijalankan oleh KKM adalah baik. Mereka cuba melaksana langkah kawalan dan mitigasi penyakit. Malangnya kolaborasi dengan pihak lain tidak mantap. Masih banyak perjumpaan, mesyuarat, konsert sekolah yang dilakukan walaupun secara umum Covid-19 telah dinyatakan dengan tegas.

Kemasukan warga asing ke Malaysia juga dibenarkan hingga tarikh yang sudah lewat. Kes-kes yang masuk dari luar negara dan warga pulang dari negara luar, menyebabkan kes merebak di Malaysia.

Larangan perjalanan ke luar negara, tidak dilakukan secara standard. Di mana hanya negara berisiko tinggi dilarang, manakala negara jiran dan negara sekitar lain masih dibenarkan. Ini menyebabkan kes-kes dari negara lain boleh merebak di negara kita terutama jika peserta hadir ke aktiviti berisiko seperti persidangan, perjumpaan antarabangsa yang dihadiri berbagai warga.

Artikel Berkaitan:

Terdapat juga aduan yang mana nasihat didapati daripada kakitangan kesihatan adalah berbeza-beza. Iaitu ada yang menyatakan tidak perlu duduk di rumah sahaja dan boleh ke mana-mana dalam tempoh isolasi.

Kesan buruk telah kita lihat di mana perjumpaan 10,000 peserta dalam dan 5,000 peserta luar negara berlaku dalam perjumpaan di Masjid Seri Petaling yang lepas.

Senarai nama lengkap perlu diperolehi kerana mereka juga mungkin positif Covid-19. Sesetengah yang hadir ialah kakitangan kerajaan, pelajar dan warga berisiko kerana mempunyai komorbiditi.

Negara Brunei dan Singapura telah melihat kontak dari ijtimak tersebut positif Covid-19, manakala virus tersebut terus menular ke lapisan seterusnya.

Manakala Masjid Jamek Seri Petaling, masjid-masjid di Singapura yang dilawati terpaksa ditutup selama 5 hari untuk pembersihan.

Bilangan individu yang terlalu ramai dan kesukaran mengesan telah mengakibatkan banyak masa telah terbuang. Ada juga yang menganggap remeh panggilan ini dan menganggap ia takdir.

Mereka juga berpotensi menyebarkan virus kepada warga lain tanpa mengetahui mereka sebenarnya pembawa virus bahaya ini. Ini menjadi beban ke sistem kesihatan negara. Sudah sampai masa bantuan dari kakitangan pihak swasta, universiti, NGO dan pesara kesihatan terlatih digembleng untuk memastikan makmal, hospital dan klinik kesihatan tidak terbeban berterusan oleh penyakit ini.

Jika dalam penerbangan, percampuran dalam pesawat dan di lapangan terbang sukar dikawal. Dalam keadaan berasak-asak, jarak selamat 1 meter tidak dapat dipatuhi.

Kita akan terdedah dengan perbagai warga dan mengambil nafas, batuk dalam udara yang sama. Merebaknya jangkitan melalui udara iaitu titisan air (droplets) dan transmisi langsung melalui sentuhan akan berlaku.

Virus ini pula telah didapati boleh hidup selama beberapa jam hingga ke sembilan hari di atas permukaan. Juga kurang implementasi proses pembersihan sekolah, hospital, tempat umum dan pengangkutan awam seperti bas dan LRT iaitu di kerusi, tandas, laluan awam hendaklah dilakukan secara berkala dan sistematik.

Walaupun kos melaksanakan proses ini akan tinggi, ini akan mengelakkan kos merawat dan kos kematian yang jauh lebih besar dan membebankan. Di beberapa negara, perjalanan pesakit disyaki pengidap Covid-19, dipantau dengan ketat melalui GPS telefon bimbit masing-masing. Ini mengelakkan mereka daripada bercampur dengan masyarakat luar. Tindakan mahkamah juga dilaksanakan kepada pengidap virus yang menipu perjalanan atau lari daripada kuarantin.

Untuk mengurangkan transmisi, contoh yang berlaku di Jepun dan China, di mana sekolah, pasar raya, perjumpaan terpaksa ditutup untuk mengelakkan transmisi berlaku. Malaysia masih sibuk dengan ekonomi, isu politik dan terlepas melihat ke masalah wabak yang membesar.

Contoh negara China menukar edaran wang mereka, di mana wang baru dihasilkan untuk mengurangkan risiko terdedah virus yang mungkin berada di wang kertas mereka. Mereka juga melakukan kuarantin besar-besaran secara paksaan dan sampel ujian dilaksanakan.

Ini mungkin sukar dilakukan di nagara Malaysia dengan kos yang besar. Negara Itali melihat kematian besar terutama di kalangan warga emasnya dan dianggap lewat melaksana 'lockdown' berbanding Jepun dan Taiwan.

Jika negara masih meneruskan mesyuarat penting, boleh dilaksanakan jika penilaian risiko peserta dapat dilaksana secara betul. Langkah ini tidak dilihat dilaksana secara menyeluruh. Hanya beberapa organisasi melakukan dan ini baru menjadi ikutan setelah beratus kes Covid-19 berlaku di negara. Ini termasuk menilai perjalanan peserta dan kontak rapat peserta 14 hari yang lepas, peserta yang mempunyai masalah kesihatan seperti demam, batuk dan sakit tekak, dielakkan dari masuk atau hadir kerja.

Persediaan hand sanitiser, pengudaraan ruang yang baik, ioniser udara jika ada, dan pemeriksaan demam peserta menggunakan thermoscan adalah dicadangkan.

Di sekolah-sekolah, kolej, sekolah berasrama, penjara, hospital, langkah pengurangan risiko adalah keutamaan. Jawatankuasa penaksiran risiko bersama pakar rujuk perubatan kesihatan boleh diminta memberi panduan dalam menangani masalah di atas.

*Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh ialah Pakar Perubatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)