Lima MPV polis kejar pasangan suami isteri

MELAKA - Pasangan suami isteri yang mempunyai beberapa rekod lampau ditahan polis selepas terlibat dalam aksi mengejar mencemaskan bersama lima unit kereta peronda polis (MPV) di sini pada malam Khamis.
Suspek lelaki berusia 28 mempunyai 18 rekod lampau dan isterinya berusia 27 tahun yang terdapat empat rekod lampau berjaya ditahan kira-kira jam 11.30 malam selepas kenderaan yang dinaiki mereka merempuh sebuah kereta peronda polis.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata, insiden bermula apabila pihaknya mengesan kenderaan jenis Proton Wira yang dinaiki pasangan itu di kawasan KIP Mall Bachang dikehendaki polis kerana dipercayai terlibat dalam satu kes ugutan jenayah.

Menurutnya, ketika ditahan suspek enggan memberi kerjasama lalu memecut laju menyebabkan pasukan peronda polis melancarkan operasi mengejar kenderaan terbabit yang menghala ke arah Taman Cheng Ria.
"Kenderaan suspek telah merempuh kereta peronda polis menyebabkan kemek di bahagian hadapan serta kerosakan pada lampu kenderaan itu.
"Suspek lelaki yang mengalami kecederaan lebam di muka akibat pelanggaran telah dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut manakala suspek wanita tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.
Jelasnya, semakan rekod mendapati suspek lelaki mempunyai rekod lampau membabitkan 11 kes jenayah dan tujuh kes narkotik, manakala isterinya pula mempunyai tiga rekod lampau berkaitan jenayah dan satu dadah.

"Kedua-dua suspek kini direman selama empat hari bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut di bawah Seksyen 186 dan 279 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan memandu secara melulu," katanya lagi.
Terdahulu tular beberapa video mengenai aksi mengejar berkenaan di media sosial.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

