Thailand tangguh caj masuk pelancong hingga 2026

BANGKOK – Kementerian Pelancongan dan Sukan Thailand mengumumkan penangguhan pelaksanaan caj kemasukan pelancong asing atau dikenali sebagai Kha Yeap Pan Din (memijak tanah Thailand) yang sepatutnya dikuatkuasakan tahun ini.
Pembantu Menteri Pelancongan dan Sukan, Chakrapol Tangsutthitham berkata, keputusan itu dibuat selepas semakan oleh Menteri Sorawong Thienthong yang mendapati pada masa sekarang tidak sesuai susulan ketidaktentuan global yang masih berterusan.
“Kita perlu tunggu dan lihat permintaan pelancong antarabangsa pada musim kemuncak suku keempat tahun ini,” katanya sambil menambah kementerian masih perlu mengkaji secara terperinci struktur bayaran mengikut kaedah kemasukan sama ada melalui darat, laut, rel atau udara.
Setakat ini, pelaksanaan caj tersebut dijangka bermula sekitar suku kedua atau ketiga tahun 2026.
Bayaran itu yang telah diluluskan secara prinsip oleh Kabinet pada Februari 2023, ditetapkan sebanyak 300 baht (RM39) bagi ketibaan melalui udara dan 150 baht (RM19) bagi ketibaan melalui darat atau laut.
Hasil kutipan akan digunakan untuk menambah baik lokasi pelancongan dan membiayai perlindungan insurans untuk pelancong asing. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
