Dua warga China maut, kereta terbabas elak lori tukar lorong

Dua warga China maut selepas kereta terbabas cuba mengelak lori tukar lorong secara tiba-tiba di Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, Tapah. Foto bomba Perak
Dua warga China maut selepas kereta terbabas cuba mengelak lori tukar lorong secara tiba-tiba di Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, Tapah. Foto bomba Perak
A
A
A

TAPAH – Dua lelaki warga China maut selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas ketika cuba mengelak sebuah lori yang dipercayai menukar lorong secara tiba-tiba di Kilometer 316.9 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, di sini pada Isnin.

Dalam kejadian sekitar jam 10.30 malam itu, Chong Hong yang duduk di bahagian penumpang hadapan dan Yucheng Pan yang duduk di tempat duduk belakang, masing-masing berusia 41 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Johari Yahya berkata, pemandu kereta, seorang lelaki warga tempatan berusia 56 tahun, terselamat dengan mengalami beberapa kecederaan di bahagian leher, kaki dan tangan.

Menurutnya, semasa kejadian, ketiga-tiga mangsa menaiki sebuah kereta jenis Toyota Vios dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Pulau Pinang sebelum kereta itu hilang kawalan selepas cuba mengelak pergerakan sebuah lori.

“Siasatan awal mendapati, kereta berada di lorong kanan ketika sebuah lori yang tidak dapat dikenal pasti nombor pendaftarannya dipercayai menukar haluan secara mengejut di hadapan mereka.

“Akibatnya, kereta tersebut hilang kawalan sebelum terbabas. Dua penumpang yang duduk di hadapan dan belakang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa yang maut berasal dari Guangdong, China dan bekerja sebagai pengurus syarikat serta pengurus pemasaran.

“Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tapah untuk proses bedah siasat,” ujarnya.

Tambah beliau, setakat ini identiti lori yang terlibat masih belum dikenal pasti dan pihak polis kini giat mengesan saksi kejadian serta berusaha mendapatkan rakaman kamera papan pemuka (dashcam) daripada kenderaan mangsa atau pengguna jalan raya lain.

Artikel Berkaitan:

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!