Peragut tunggang Yamaha Ego Gear merah sudah kena tahan

KOTA BHARU - Seorang lelaki yang menunggang motosikal jenis Yamaha Ego Gear berwarna merah dan dipercayai terlibat dalam kes ragut seorang wanita berjaya ditahan polis kurang 24 jam selepas kejadian dilaporkan.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, sejurus selepas kejadian, mangsa yang merupakan seorang wanita telah hadir ke balai polis dan membuat laporan pada Ahad selepas beg tangannya diragut semasa berjalan di pekarangan tempat letak kenderaan di Lotus Lembah Sireh di sini.
“Kejadian berlaku kira-kira jam 7.28 malam dan pengadu mengalami kerugian lebih kurang RM220.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurut beliau, bertindak atas maklumat, pasukan dari Balai Polis Kota Bharu berjaya melakukan tangkapan ke atas suspek kira-kira jam 9 pagi pada Selasa.
Ujarnya, hasil tangkapan itu turut membawa kepada rampasan empat barang berkaitan kes iaitu sebuah motosikal Yamaha Ego Gear berwarna merah, sehelai baju-T berwarna kelabu dan sepasang seluar panjang hitam.
Mohd Rosdi memberitahu, siasatan lanjut mendapati suspek turut terlibat dalam lima lagi kes ragut di sekitar daerah ini.
“Ujian air kencing ke atas suspek mendapati keputusan negatif dadah.
“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Kota Bharu pada Selasa bagi permohonan reman,” katanya.
Menurut beliau, hasil risikan dan maklumat orang awam, polis berjaya menyelesaikan enam kes samun ragut yang berlaku di daerah Kota Bharu.
Sebelum itu, Sinar Harian pada Isnin melaporkan seorang lelaki menunggang motosikal jenis Yamaha Ego Solariz berwarna merah diminta menyerahkan semula beg yang diragut di hadapan sebuah kafe di Lotus Lembah Sireh pada Ahad.
Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan, didapati penunggang motosikal yang memakai topi keledar telah meragut barangan seorang wanita ketika mangsa sedang berjalan ke arah kawasan parkir.
Difahamkan, kejadian berlaku sekitar jam 7.28 malam.
Sehubungan itu, satu hantaran yang meminta suspek memulangkan semula beg yang diragut telah tular di media sosial.
Hantaran tersebut dipercayai dimuat naik oleh premis kopi berkenaan berserta tangkap layar kejadian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

