Paku dalam makanan: Perketat pemeriksaan berkala pada premis makanan

INSIDEN penemuan sebatang paku dalam hidangan ayam yang dikongsi oleh seorang pelanggan menerusi video TikTok baru-baru ini mencetuskan kebimbangan serius dalam kalangan masyarakat, khususnya berkaitan soal keselamatan pelanggan dan kebersihan makanan.
Kejadian itu bukan sahaja membahayakan nyawa pengguna, malah turut mencerminkan kelemahan dalam pengurusan dapur dan proses penyediaan makanan di sesetengah premis.
Dalam kes berkenaan, pelanggan bernasib baik kerana menyedari kehadiran objek asing tersebut sebelum tertelan, namun situasi itu boleh membawa kesan buruk seperti kecederaan dalaman, terutama jika melibatkan kanak-kanak atau warga emas.
Selain itu, kebimbangan masyarakat juga dapat dilihat dari segi tahap pengawasan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di restoran atau kedai makan.
Meskipun insiden seperti ini mungkin terpencil namun ia menggugat kepercayaan pengguna terhadap tahap keselamatan makanan yang disediakan kepada orang ramai.
Bagi menangani permasalahan tersebut, beberapa cadangan boleh dipertimbangkan termasuk memastikan pemeriksaan berkala oleh pihak berkuasa seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu diperketatkan, termasuk audit mengejut ke atas premis makanan.
Di samping itu, pensijilan kebersihan premis perlu dinilai semula dan hanya diberikan kepada kedai yang memenuhi tahap keselamatan ditetapkan.
Latihan pengendalian makanan kepada pekerja restoran juga perlu dijadikan syarat wajib, termasuk kesedaran tentang risiko objek asing dalam makanan.
Saluran aduan yang mesra pengguna seperti aplikasi mudah alih perlu diperkasakan bagi membolehkan orang ramai melaporkan isu keselamatan makanan dengan cepat dan mudah.
Kesimpulannya, semua pihak perlu memainkan peranan dalam isu ini termasuk peniaga dan pengusaha kedai makanan itu sendiri bagi memastikan penyediaan makanan oleh pekerja dilakukan dengan teliti.
Mereka juga harus memastikan dapur dan peralatan berada dalam keadaan bersih serta mengamalkan budaya kerja yang teliti bagi mengelakkan kejadian seperti ini daripada berulang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

