Kemelut Negeri Sembilan perlu diselesaikan ikut undang-undang

Laporan muka depan Sinar Harian pada Sabtu
Laporan muka depan Sinar Harian pada Sabtu
A
A
A

KEMELUT Perlembagaan Negeri Sembilan memerlukan penyelesaian berlandaskan undang-undang bagi membuka ruang pemulihan hubungan antara Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, dengan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim.

Ketegangan semakin memuncak susulan teguran terbuka Tuanku Muhriz terhadap Ismail selepas solat Jumaat di Masjid Kariah Beting, Kuala Pilah pada Jumaat berhubung pertikaian kedudukan Baginda sebagai pemerintah negeri yang sah.

Menerusi rakaman video tular di media sosial, Tuanku Muhriz mempertikaikan tindakan Ismail yang didakwa menulis surat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bagi memaklumkan keputusan bersama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) bahawa Baginda kononnya bukan lagi Yang di-Pertuan Besar.

Baginda turut menegaskan tidak akan menerima Ismail menghadap selagi Menteri Besar itu tidak menarik balik kenyataan dan surat berkenaan.

Kemelut itu bermula pada April 2026 apabila empat individu yang mendakwa diri mereka sebagai Undang mengumumkan penyingkiran Tuanku Muhriz sebagai pemerintah negeri.

Pada Jun, Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja'afar dikatakan diisytiharkan sebagai Yang di-Pertuan Besar yang baharu dalam satu majlis di sebuah hotel di Melaka.

Pada September lalu, Ismail menyokong kenyataan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang didakwa mengesahkan penyingkiran Tuanku Muhriz.

Susulan tindakan itu, Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan seluruh anggota MMKN negeri.

Perkembangan berkenaan bukan sekadar membabitkan hubungan antara dua pemimpin, malah menyentuh kedudukan institusi diraja serta kestabilan pentadbiran negeri.

Artikel Berkaitan:

Teguran terbuka Tuanku Muhriz di masjid berkenaan turut menarik perhatian jemaah yang melaungkan Daulat Tuanku sebagai tanda sokongan.

Muhamad Kamel Yassin, cicit kepada pahlawan terkenal Negeri Sembilan, Datuk Siamang Gagap, yang berada di lokasi kejadian, mengakui berdebar menyaksikan situasi yang disifatkannya tidak pernah berlaku sebelum ini.

Beliau berkata, kejadian bermula selepas solat Jumaat apabila Tuanku Muhriz bertanyakan keberadaan Penghulu Luak Inas dan Penghulu Luak Terachi sebelum menegur Ismail secara langsung.

Menurutnya, Menteri Besar itu hanya berdiam diri dan melakukan angkat sembah ketika ditegur.

Bagi mengelakkan pertikaian berlarutan, kedudukan surat yang dipertikaikan serta asas keputusan barisan Exco perlu diperjelas melalui saluran undang-undang dan Perlembagaan negeri yang sah.

Saluran komunikasi teratur dan berhemah juga penting bagi membolehkan pihak pentadbiran negeri menjelaskan pendirian serta mempertimbangkan tindakan sewajarnya, termasuk memohon maaf atau menarik balik kenyataan yang menggugat kestabilan institusi diraja.

Pada masa sama, sebarang kenyataan politik dan tindakan pentadbiran perlu ditangani secara bertanggungjawab dengan mengutamakan kepentingan rakyat serta kelangsungan pentadbiran negeri.

Penyelesaian berlandaskan undang-undang dan sikap saling menghormati penting bagi meredakan ketegangan, memulihkan hubungan antara pihak istana dengan pentadbiran negeri serta memastikan kestabilan Negeri Sembilan terus terpelihara.

 

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!