Bukan lagi impian, Misha Omar adakan konsert pertama

IMPIAN peminat untuk menyaksikan persembahan berskala besar Misha Omar akhirnya bakal menjadi kenyataan menerusi konsert bertajuk DiA Misha Omar yang akan berlangsung pada 29 November depan di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.
Bagi Misha atau nama sebenar Samihah Aisah Omar, konsert itu bukan sekadar persembahan semata-mata, tetapi lebih kepada satu momen istimewa yang ingin dikongsi bersama mereka yang selama ini menyokongnya walaupun tanpa kelab peminat rasmi.
“DiA Misha Omar bukan hanya tentang saya seorang tapi tentang bagaimana perjuangan karier yang telah dilalui lebih 20 tahun ini disokong penuh makna oleh pemain industri dan peminat.
“Ironi, saya tidak pernah mempunyai kelab peminat tetapi dengan kuasa karya bermutu yang diberikan kepada saya dengan kepercayaan peminat bahawa saya masih relevan untuk menghiburkan mereka, maka perjalanan seni saya dapat bertahan sehingga kini.
“Siapa sangka, diam-diam saya berjaya melewati ‘hitam-putih’ 20 tahun sebagai seorang penghibur. DiA Misha Omar adalah titik destinasi baharu yang akan saya tandai dengan sejarah baik dan manis bersama anda semua," ujarnya.
Penyanyi bersuara lunak itu sebelum ini mencetuskan tanda tanya apabila memuat naik teaser misteri di Instagram tepat tengah malam sebulan lalu, sebelum akhirnya mengumumkan tarikh dan lokasi rasmi konsert tersebut.
Difahamkan, konsert ini bukan kesinambungan kepada showcase Back To Basic yang berlangsung Disember lalu, sebaliknya membawa misi lebih besar iaitu meraikan lebih dua dekad penglibatan Misha dalam industri seni.
“DiA Misha Omar sebaliknya adalah sebuah keraian perjalanan seni, merayakan muzik yang tetap subur dan tanda apresiasi terhadap sokongan lebih dua dekad yang telah diperoleh sepanjang bergelar seorang penghibur," katanya lagi.
Disokong oleh penganjur Double M Production dan Altus Prohouse sebagai pengurus konsert, DiA Misha Omar akan menjadi platform untuk berkongsi segala ‘hitam putih’ perjalanan selama 23 tahun kepada peminat.
Tiket konsert akan mula dijual bermula 25 Julai, jam 10 pagi menerusi laman web jiotix.asia, dengan harga bermula RM288 bagi kategori Silver, RM388 (Gold), RM488 (Platinum), RM588 (Diamond), RM688 (VIP 2), dan RM1,200 bagi kategori VIP 1 serta Royal Twin Seat (2 pax).
Pembeli tiket VIP 1 turut menerima akses eksklusif ke sesi Meet & Greet dan Soundcheck Pass bersama Misha Omar.
Sementara itu, pembeli dalam kategori Orang Kelainan Upaya (OKU) boleh mendapatkan tiket menerusi WhatsApp di talian +6011-1660 1122.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

