'Conversations With The Youth': Sinar Daily buka pentas dialog terbuka

SHAH ALAM – Platform Sinar Daily bakal menganjurkan program ‘Conversations With The Youth’, iaitu tayangan eksklusif filem dokumentari pendek dan sesi dialog terbuka sempena penganjuran Karnival Siang Malam Karangkraf yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Editor Sinar Daily, Tasnim Lokman berkata, program yang memfokuskan kepada golongan anak muda itu akan berlangsung pada 25 Julai ini jam 8.30 malam di pekarangan Kompleks Karangkraf.
Menurut beliau, dokumentari tersebut memaparkan kisah realiti yang menyentuh tema harapan, politik, kesihatan mental, media sosial dan erti sebenar kejayaan yang seringkali sukar ditakrifkan.
“Ini peluang keemasan untuk semua berkumpul dan mendepani cabaran, harapan serta realiti generasi masa kini yang membentuk diri kita.
“Menerusi kisah ini, terdapat persoalan penting kepada penonton iaitu apa sebenarnya maksud membesar dalam dunia hari ini dan bagaimana kita memilih untuk menghadapi kesukaran dalam dunia yang sentiasa berubah-ubah?
“Ia bukan sekadar tayangan, tetapi juga perbualan. Selepas tayangan, penonton akan dijemput menyertai sesi dialog terbuka bersama pemimpin muda, penggiat seni dan individu yang membawa perubahan serta berkongsi pandangan unik tentang erti menjadi generasi muda hari ini,” katanya pada Isnin.
Tasnim memaklumkan, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada kempen utama Sinar Daily iaitu ‘Choose Your Hard’ yang bertujuan mencetuskan perbincangan berani mengenai realiti kehidupan, khususnya dalam kalangan anak muda.
Tambahnya, sesi tersebut juga menjadi platform kepada kumpulan sasar untuk meluahkan pandangan, berkongsi pengalaman dan mendengar kisah orang lain.
“Kami percaya acara ini bukan sekadar untuk menonton filem, tetapi tentang membangkitkan sesuatu dalam diri dan mewujudkan ruang untuk empati serta pemahaman antara generasi.
“Ini membolehkan generasi lebih tua memahami generasi muda dengan lebih baik apabila mereka mendengar pandangan anak-anak muda ini,” ujarnya lagi.
Orang ramai dijemput hadir memeriahkan program ‘Conversations With The Youth’ yang diadakan pada hari pertama Karnival Siang Malam Karangkraf. Kemasukan adalah percuma.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

