[VIDEO] Polis Johor rampas RM3.5 juta dadah, 5 suspek ditahan

A
A
A

JOHOR BAHRU – Polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM3.5 juta termasuk bunga ganja dalam lima serbuan di daerah ini minggu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, serbuan yang dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Daerah Johor Bahru Selatan itu dilaksanakan dari jam 1.30 petang Khamis hingga 2.30 pagi Jumaat lalu turut menahan lima suspek.

Kumar (dua dari kanan) bersama barang rampasan ketika sidang akhbar di IPK Johor hari ini.
Kumar (dua dari kanan) bersama barang rampasan ketika sidang akhbar di IPK Johor hari ini.

“Polis merampas 20,707 gram serbuk ekstasi bernilai RM3,458,069; 18,494 gram ganja (RM58,331); 154.25 gram ketamin (RM30,850) dan 141 gram pil Eramin 5 (RM10,000),” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Menurut beliau, dalam serbuan tersebut, polis turut menahan seorang lelaki warga tempatan dan dua wanita warga Vietnam berusia antara 32 hingga 39 tahun bersama sejumlah rampasan dadah.

“Selain itu, polis turut merampas alat memproses dan membungkus semula dadah serta menyita wang tunai berjumlah RM800,” katanya.

Difahamkan, modus operandi sindiket tersebut adalah dengan menjadikan bilik sewa dan kondominium yang berpagar serta mempunyai kawalan keselamatan sebagai tempat penyimpanan dan pembungkusan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

Tambah Kumar, nilai keseluruhan rampasan dadah dianggarkan berjumlah RM3,556,250 dan boleh digunakan seramai 88,788 penagih sekiranya bahan terlarang itu terlepas ke pasaran.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, hasil saringan air kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis methamphetamine, manakala semakan rekod mendapati mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Kesemua suspek kini ditahan reman sehingga 6 Julai ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup serta dikenakan sebatan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!